Terapung dalam peti simpan ikan setelah bot karam, tiga nelayan dijumpai selamat, seorang masih hilang
MIRI-- Setelah empat hari dilaporkan hilang di perairan Miri, tiga daripada empat mangsa bot karam berjaya ditemukan selamat dalam keadaan terapung di dalam dua peti menyimpan ikan oleh pekerja pelantar minyak di kedudukan kira-kira 32 batu nautika ke barat laut Kuala Baram di sini, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, mangsa yang selamat ialah Zaidi Jana, 43, Annuar Amin, 54, dan Junaidi Nyamin, 70, daripada salah satu bot yang dilaporkan hilang.
"Ketiga-tiga mangsa dijumpai pada jam 10.15 pagi oleh kru pelantar minyak yang menemukan mereka dalam lima batu nautika sekitar Pelantar Helang dan jarak Pelantar Helang itu dengan Kuala Baram adalah dalam 32 batu nautika.
“Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Miri dan kini sedang dalam pemantauan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang media di Jeti Marina Bay di sini, hari ini.
Berikutan penemuan tiga mangsa itu, Mohd Shafie berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diteruskan bagi mengesan mangsa terakhir, Masni Jana berusia 60 tahun yang masih hilang.
Jelasnya, sektor pencarian selama lima hari ini sudah menjangkau ke 1,020 batu nautika dan sektor pencarian akan diperluaskan bagi mengesan baki seorang lagi mangsa yang belum ditemui.
Pada Rabu, enam lelaki yang menaiki dua bot dilaporkan tidak pulang ke darat selepas pergi menangkap ikan pada Selasa.
Susulan kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menerima laporan tersebut terus mengaktifkan Op CARILAMAT bersama agensi-agensi sahabat yang kemudiannya membawa kepada penemuan dua mangsa awal yang dijumpai selamat pada Rabu.