Tanggungjawab menteri bongkar rasuah, SPRM
PUTRAJAYA—Tidak menjadi isu sekiranya menteri mengeluarkan kenyataan berhubung kes rasuah
membabitkan agensi penguat kuasa, kerana ia adalah tanggungjawab mereka untuk membongkar rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pembongkaran gejala rasuah oleh beberapa menteri sejak kebelakangan ini adalah
tanggungjawab murni, katanya dipetik Berita Harian.
"Tiada hal untuk mereka memberi kenyataan (mengenai aktiviti rasuah) kerana sebagai menteri, ia tanggungjawab mereka untuk mencegah rasuah.
"Tidak menjadi masalah dan kita juga mengambil ia secara positif," katanya dalam Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang akhbar mendedahkan seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara dan berkata, ia sudah diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
Khamis lalu, tular di media sosial kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing didakwa menceroboh masuk dewan ketibaan antarabangsa selepas seorang pelawat China tidak dibenarkan masuk ke negara ini oleh Jabatan Imigresen.
Menteri berkenaan kemudian mendakwa ada amalan rasuah membabitkan Jabatan Imigresen dalam mengurus proses ketibaan warga asing di KLIA.