Syukur dapat memiliki rumah sendiri, bayaran tidak beban B40- penerima program Rumah Mesra Rakyat

KUCHING-- "Kami cukup bersyukur dan gembira kerana impian memiliki rumah sendiri dapat dicapai," luah Ifazira Mahedi, 25, penerima Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dari Kampung Sebandi Ulu, Asajaya.

Berkongsi kisah gembira itu, dia dan suaminya, Halim Ehzam, 26, serta anak lelaki mereka berusia lima tahun tidak sabar untuk tinggal di rumah berkenaan.

"Tempoh pembinaan kira-kira dua bulan setengah dan sekarang sudah siap dan hanya menunggu bekalan elektrik disambung ke rumah ini.

"Rasa amat bahagia dan berpuas hati kerana dapat memiliki rumah kami sendiri.

"Malah, pembayaran bulanan untuk rumah RMR ini tidak membebankan untuk golongan berpendapatan B40," katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Tambah Ifazira, rumah RMR amat berbaloi untuk dimiliki dan proses permohonannya amat mudah.

"Saya mohon menerusi laman sesawang https://rmr.spnbonline.com.my/ pada bulan Februari tahun lepas dan pada awal tahun ini mendapat jawapan bahawa permohonan rumah RMR ini telah diluluskan.

"Sekitar Februari tahun ini saya menandatangani surat perjanjian rumah ini bersama peguam yang dilantik dan sebelum bulan Ramadan tahun ini ia sudah mula dibina.

"Dan pada 13 Julai lalu, kami menerima penyerahan kunci rumah ini setelah ia siap sepenuhnya," tambahnya.

Justeru, dia amat menggalakkan rakyat Sarawak terutamanya pasangan muda yang telah mendirikan rumantangga merebut peluang untuk memiliki rumah RMR berkenaan.

Berkenaan program RMR itu, ia diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Syarat dan kelayakan adalah warganegara Malaysia, pemohon berumur18 hingga 65 tahun, pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM5,000. 

Selain itu, pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri atau memiliki rumah usang atau tidak sempurna. 

Tapak atau tanah bersesuaian dan bebas daripada gadaian atau bebanan ke atasnya. Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran pemilik.

Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,000kps (tertakluk kepada reka bentuk).

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari https://rmr.spnbonline.com.my.
Next Post Previous Post