SPRM tahan dua lelaki termasuk Pegawai Penguat Kuasa di sebuah Suruhanjaya Tinggi disyaki terima rasuah berkaitan VISA luar negara.

 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki semalam kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong. 

Menurut sumber, siasatan mendapati pegawai penguat kuasa yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi tersebut dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia dengan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.

Tambah sumber, hasil siasatan mendapati pegawai tersebut yang melakukan perbuatan itu sejak 2021 dipercayai menerima bayaran sekitar USD 300 ke USD 500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.  

Menurut sumber lagi, kedua-dua lelaki berusia lewat 30an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika diminta hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya. 

"Seorang individu yang ditahan ini dipercayai pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa tersebut," katanya.

Tambah sumber, pegawai tersebut adalah pegawai agensi penguat kuasa ketiga yang telah ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.  

Susulan penahanan tersebut, Majistret Mageshwary A/P Muniandy telah membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 31 Julai 2023 setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post