Rokok, minuman keras tiada cukai bernilai RM100,000 dirampas, lima individu diberkas

KUCHING— Polis menahan lima individu termasuk seorang warga asing dan merampas 130 karton pelbagai jenis rokok dan 195 kotak minuman keras dipercayai tidak bercukai kastam dianggarkan bernilai RM100,000 di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, penahanan dan rampasan itu dibuat semasa Op Kontraban di lima buah premis kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini.

“Polis berjaya menahan seorang lelaki dan tiga wanita tempatan manakala seorang lagi wanita warga asing.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan sehingga lima tahun dan boleh didenda sebanyak RM100,000. 

“Kesemua suspek dalam tempoh tahanan reman selama lima hari sehingga 30 Julai 2023 bagi meneruskan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu operasi khas tersebut dilaksanakan oleh sepasukan polis IPD Kuching dengan kekuatan seorang pegawai dan 10 orang anggota bagi membanteras kegiatan penyeludupan barang-barang bercukai (kontraban).
Next Post Previous Post