‘Revenue engineering’ diteruskan, tingkat pendapatan rakyat, Abang Johari

Abang Johari (tengah) bersama tetamu kenamaan yang lain mengibarkan bendera semasa lagu Sarawak Maju Makmur. Gambar ihsan Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING— Sarawak akan terus meneroka pelbagai potensi ekonomi untuk meningkatkan pendapatan rakyat menggunakan inisiatif ‘revenue engineering’ yang telah terbukti berjaya menggandakan pendapatan negeri, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata, Sarawak berjaya mencapai pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu hampir RM12 bilion pada 2022 dipacu inisiatif ‘revenue engineering’, yang tidak lagi bergantung dengan pertanian untuk pendapatan sebaliknya diperluas ke sektor pembuatan.

“Kejayaan ini merupakan satu rekod kerana pada kebiasaannya hasil negeri berada pada tahap RM4 ke RM5 bilion sahaja. Ini merupakan peningkatan satu kali ganda dalam masa empat tahun. Baru-baru ini juga Bank Dunia telah mengkategorikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi. 

“Saya percaya pencapaian ini tujuh tahun lebih awal daripada yang disasarkan akan terus memberi dorongan kepada pentadbiran dan rakyat Bumi Kenyalang ini untuk berusaha dengan lebih gigih lagi agar pendapatan setiap isi rumah mampu ditingkatkan,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka di sini pada Sabtu (22 Julai).

Katanya, berikutan kejayaan inisiatif ‘revenue engineering’ yang mulai dilaksanakan pemimpin negeri pada 2017, maka Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinannya telah mengorak langkah berani dengan menerokai potensi ekonomi hijau yang menjadi fokus dunia masa kini untuk menangani pemanasan iklim global selaras dengan Perjanjian Paris. 

“Pembangunan ekonomi hijau memberi banyak peluang kepada Sarawak untuk mempertingkatkan ekonominya melalui pengeluaran gas hidrogen sebagai bahan bakar tanpa karbon, penangkapan, penyimpanan serta penggunaan karbon (CCUS), perniagaan karbon dan pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) daripada biojisim alga.

“Saya yakin dalam tempoh tujuh tahun seterusnya sehingga 2030 pendapatan negeri ini akan terus meningkat dengan perluasan asas kutipan hasil melalui inisiatif-inisiatif di bawah ekonomi hijau,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak akan meneruskan usaha pemimpin terdahulu dalam mengembalikan hak Sarawak yang terhakis seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan negeri itu tidak akan berputus asa sehingga semua haknya dikembalikan.

“Sehubungan itu, saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana baru-baru ini bersetuju untuk memulangkan semula 52 lot tanah yang belum dibangunkan kepada negeri ini.

“Ini termasuk bangunan bersejarah Pejabat Pos Besar, yang akan diserahkan semula kepada kita,” katanya.

Abang Johari berkata pencapaian baru-baru ini dalam memulihkan hak Sarawak termasuk kuasa untuk melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Jabatan Saliran dan Pengairan diiktiraf sebagai jabatan teknikal.

“Kita juga berjaya meletakkan wakil dari Sarawak dalam Lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri, mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak telah melangkah jauh sejak mencapai pemerintahan sendiri daripada British pada 1963.

Sementara itu lebih 3,000 peserta daripada pelbagai kumpulan etnik Sarawak mengambil bahagian dalam 75 kontinjen yang mewakili agensi kerajaan, institusi pendidikan, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan.


Sumber UKAS

Next Post Previous Post