Rampas rokok RM7.8 juta
KUCHING-- Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak berjaya menumpaskan dan merampas rokok seludup beserta lori kargo bernilai RM7.8 juta di Miri pada Rabu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, rampasan itu menerusi Op Kontraban yang dijalankan sekitar jam 9.40 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari unit risikan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak.
"Pasukan telah menahan sebuah lori rigid kargo am di tepi jalan Kuala Baram bypass, Miri.
"Pemeriksaan terhadap lori tersebut telah menjumpai pelbagai jenis rokok disyaki tanpa cukai kastam.
"Hasil pemeriksaan tersebut, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an dan 40-an," katanya dalam kenyataan media malam ini.
Jelas Azman, pemeriksaan di dalam lori tersebut telah menjumpai rokok pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai.
Katanya, antara yang dirampas adalah rokok Era Full Flavor 4,300,000 batang, rokok Era Black Menthol 2,600,000 batang, rokok Era Menthol 100,000 batang.
"Turut dirampas dalam serbuan ini adalah sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7.83 juta," dedahnya.
Tegas beliau lagi, kesemua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda barang atau rm500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya," ujarnya.