Pisang disuntik racun untuk bunuh monyet dikebas pencuri buah
KABONG-- Seorang lelaki warga emas terpaksa tampil membuat laporan polis berikutan pisang yang telah diracunnya dicuri individu tidak dikenali.
Warga emas yang berusia 63 tahun itu tampil di Balai Polis Kabong pada 15 Julai lalu selepas mendapati pokok pisang miliknya telah ditebang individu tidak dikenali.
Jelasnya, pokok pisangnya sedang berbuah dan buahnya telah disuntik dengan racun untuk membunuh monyet.
"Pada jam 10 malam pada 14 Julai lalu bertempat di depan jalan Kampung Metang Desa, Kabong, saya telah medapati dua pokok pisang telah ditebang oleh individu yang tidak dikenali.
"Untuk makluman, salah satu dari pokok pisang tersebut saya telah suntik dengan racun untuk membunuh monyet," katanya dalam laporan tersebut.
Tambahnya, tujuan dia membuat laporan ini adalah untuk peringatan dan keselamatan.
Selain itu, dia juga memohon pihak polis untuk menjalankan rondaan di kawasan berkenaan dengan lebih kerap.