Penunggang motosikal maut tercampak atas bumbung Toyota Unser
BINTULU— Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser di Jalan Chin Lee Garden awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mereka menerima panggilan pada jam 1.02 pagi dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati ada satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Aveta dan sebuah kereta jenis Toyota Unser.
“Terdapat seorang mangsa lelaki iaitu penunggang motosikal bernama Sylvester Donny Anak Herry,21, berada di atas bumbung kereta tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menurunkan mangsa dari atas bumbung kenderaan dan mangsa telah disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian oleh pihak pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjutnya,
Manakala pemandu kereta, warga Indonesia, 37, tiada mengalami apa-apa kecederaan.
Setelah selesai mendapatkan maklumat dan memastikan keadaan dilokasi kejadian selamat, PKO bertolak balik ke balai dalam keadaan baik.
Gambar PGO Sarawak