Peningkatan kemalangan maut di Lebuhraya Pan Borneo membimbangkan - Fadillah
TPM Fadillah melakukan simbolik pelancaran Program Jelajah Advokasi Keselamatan LPB Sarawak di Dewan Baitulmal, Kompleks Islam Sarawak, Kuching. Gambar Facebook Fadillah Yusof |
KUCHING— Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kemalangan maut di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini saja, sebanyak 355 kes kemalangan maut berlaku di sepanjang lebuh raya berkenaan, meningkat dua kes berbanding 353 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Antara punca berlakunya peningkatan kemalangan di lebuh raya ini ialah kurang kefahaman dengan fungsi ‘Pusingan P’, ketidakserasian dengan keadaan lebuh raya selain memandu melebihi had laju.
“Terdapat pengguna masih belum biasa menggunakan jalan ini terutama yang ada P-turn yang mana kita biasanya menggunakan U-turn
sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Advokasi Keselamatan LPB Sarawak di Dewan Baitulmal, Kompleks Islam Sarawak, Kuching di sini pada Sabtu (15 Julai).
Fadillah menambah, keadaan jalan lebuh raya yang lurus dan baik menyebabkan ramai pemandu memandu melebihi had laju yang ditetapkan iaitu 90 kilometer sejam (90kmj).
“Kita menetapkan had laju 90 kmj di Lebuhraya Pan Borneo berbanding 110 kmj di lebuh raya di Semenanjung kerana Pan Borneo adalah lebuh raya terbuka tidak berpagar yang mana pengguna boleh keluar masuk di sepanjang lebuh raya.”
“Ada juga pemandu yang membuka penghadang jalan untuk membuat pintasan haram. Jadi kita semua harus berhati-hati sepanjang masa dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselamatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang dilaksanakan dengan kos RM16 bilion, sepanjang 786 kilometer dari Teluk Melano, Sematan sehingga ke Jalan Pujut Link di Miri kini 96 peratus siap.
“Hanya ada beberapa seksyen masih dalam pembinaan iaitu Bukit Begunan di Sri Aman yang direka bentuk semula berikutan masalah tanah, seksyen Sarikei yang memerlukan pemindahan paip air sepanjang 500 meter, manakala di Lambir dalam Bahagian Miri pula pemindahan paip air sepanjang empat kilometer.
“Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini, kecuali seksyen Lambir yang dijangka berlanjutan hingga tahun depan,”katanya.