Pengiktirafan Bank Dunia: Sarawak berada Di Landasan tepat jadi negeri maju, kata Abang Johari
KOTA SAMARAHAN-- Sarawak berada di landasan yang tepat dalam meningkatkan pendapatan negeri ini sekali gus mencapai negeri maju menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan Bank Dunia kepada Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menunjukkan negeri ini berada di landasan yang betul ke arah itu.
“Apa yang dikatakan itu merupakan data statistik ekonomi yang menjadi penanda aras yang menunjukkan keadaan ekonomi kita yang membangun dengan baik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Masjid Al Malik, Taman Uni Garden, di sini, hari ini.
Jelasnya, selari dengan status Sarawak yang kini sebagai negeri berpendapatan tinggi di Malaysia seperti dinyatakan oleh Bank Dunia akan membolehkan rakyat menerima manfaatnya.
Tambah Abang Johari, dengan pembangunan sektor-sektor seperti pelancongan, pertanian, pembuatan dan infrastruktur dan utiliti, ia sudah pasti memberi impak positif kepada rakyat secara keseluruhannya.
“Selepas ini apabila kita berbicara tentang pendapatan individu yang boleh dikaitkan dengan pendapatan negeri, pendapatan ini akan kita agih kepada pembangunan yang kita rancang menerusi PCDS 2030 dan ini akan memberikan satu ekosistem iaitu masyarakat akan menerima manfaat,” katanya.
Katanya lagi, apabila siapnya infrastruktur yang dibangunkan Kerajaan Sarawak dalam tempoh 2025 dan 2026, rakyat di negeri ini akan dapat memanfaatkannya bagi meningkatkan pendapatan mereka.
“Apabila siap infrastruktur ini, rakyat akan dapat menggunakan bakat mereka untuk meningkatkan pendapatan mereka masing-masing mengikut keupayaan mereka.
“Kalau yang malas memang tidak dapat tingkatkan pendapatan, tetapi sebaliknya kepada yang rajin dan mempunyai bakat.
“Sebab itu kita menekankan kepada tiga perkara iaitu pembangunan bakat, infrastruktur asas dan teknologi,” tegasnya.
Semalam, Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi menerusi ciapan di Twitter miliknya memberitahu Sarawak kini telah mencapai status negeri berpendapatan tinggi di Malaysia yang menunjukkan Sarawak kini telah melepasi Ambang Pendapatan Tinggi 2022 dengan melebihi USD13,205 Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita.
Data itu turut menunjukkan Sarawak tergolong dalam kategori negeri berpendapatan tinggi di Malaysia bersama Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan WP Kuala Lumpur.