Pelajar sekolah antara dua maut, nahas kereta dan motosikal
Keadaan nahas melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Batu 24, Jalan Kuching-Serian petang semalam. |
KUCHING—Pelajar sekolah antara dua yang maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Batu 24, Jalan Kuching-Serian petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kemalangan sekitar jam 6.30 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Michael Ebes Ali, 13, penumpang kereta dan Jamebres Jurim, 24, penunggang motosikal.
"Kemalangan maut ini melibatkan dua kenderaan iaitu kereta Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 54 tahun bersama isteri, 54, beserta dua anaknya berusia lapan dan 13 tahun.
"Sebuah lagi kenderaan adalah motosikal jenis Yamaha YZF-R15 ditunggang seorang pemuda yang bekerja sebagai buruh kasar.
"Kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga berkenaan bergerak dari arah Kuching hendak membuat pusingan U menuju balik ke arah Kuching.
"Sampai di susur jalan Batu 24, Jalan Kuching-Serian, kereta berkenaan dalam proses masuk ke simpang Jalan Kuching-Serian Lama tiba-tiba dilanggar di sisi kiri bahagian pintu penumpang belakang oleh motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah Serian hendak menghala ke arah Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Abang Zainal, impak perlanggaran tersebut menyebabkan kereta rosak teruk di bahagian sisi kiri pintu penumpang belakang manakala motosikal rosak teruk di bahagian hadapan.
Tambahnya lagi, akibat kemalangan tersebut seorang penumpang kereta yang tersepit di dalam kereta manakala penunggang motosikal tercampak daripada motosikal yang ditungganginya dan disahkan maut di tempat kejadian oleh Paramedik, Hospital Serian Sarawak pada 22 Julai 2023 jam lebih kurang 7.50 malam.
Sementara itu, katanya pemandu dan penumpang kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dedahnya, penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu.
Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.