Nilai ekport lada Malaysia berjumlah RM54.5 juta sehingga Mei tahun ini - Fadillah

 Nilai ekport lada Malaysia berjumlah RM54.5 juta sehingga Mei tahun ini - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. Gambar Facebook Fadillah Yusof

KUCHING— Nilai ekport lada Malaysia berjumlah RM54.5 juta sehingga Mei tahun ini, satu prestasi yang membanggakan kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, Indonesia dan
India. 

“Industri lada negara telah mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan merekodkan nilai eksport sebanyak RM181.4 juta pada tahun 2022 berbanding RM153.5 juta pada tahun 2021. 

“Kementerian berharap agar momentum ini dapat berterusan walaupun dalam keadaan yang sedikit mencabar pada tahun ini,” katanya berucap pada majlis perasmian Stesen Penyelidikan Lapangan Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Semenggok hari ini (15 Julai).

Fadillah menambah, kementerian sedang menumpukan usaha dan tenaga secara bersama dengan agensi-agensi lain dalam misi perdagangan antarabangsa

Katanya, misi perdagangan akan terus dilaksanakan untuk mengkaji sentimen pasaran dan peluang pasaran baharu lada termasuk pasaran seperti di negara-negara Skandinavia, Jepun dan Korea Selatan yang mementingkan mutu dan kualiti tinggi.

Selain itu pelan tindakan oleh kementerian dan MPB di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) memastikan industri lada negara terus berkembang maju dan kekal berdaya saing. 

“Dasar ini dirangka berdasarkan lima teras utama merangkumi aspek kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman. Kementerian yakin dengan
berpandukan DAKN2030, industri lada negara mampu menjadi lebih berdaya saing,” katanya.

Bagi memastikan nasib para pekebun kecil lada terus terbela, kementerian melalui MPB telah menaikkan had bagi Skim Tanaman Lada Baru (STLB) kepada RM46,000 per hektar
berbanding RM26,000 per hektar dan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) kepada RM25,000 per hektar berbanding RM13,000 per hektar. 

“Proses semakan semula ini bertujuan memastikan para pekebun tidak terkesan dengan kenaikan input pertanian. 

“Kesemua inisiatif ini melibatkan kos projek sebanyak RM50 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” kata Fadillah.
Next Post Previous Post