Mayat mangsa perahu karam Sungai Tutoh ditemukan hanyut 8 kilometer ke hilir sungai
MARUDI—Mayat seorang lelaki warga emas yang merupakan mangsa bot karam ditemui mati lemas pada jarak 8 kilometer ke hilir sungai berhampiran Kuala Puak petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya mengesahkan, mayat mangsa, Jangin Luwau 67, ditemui terapung secara meniarap oleh pasukan mencari dan menyelamat yang memulakan usaha pencarian sejak jam 2 petang tadi.
"Mayat mangsa secara amnya ditemui di Sungai Tutoh iaitu kawasan sebelah Hilir Kuala Puak pada jarak 8 kilometer dari lokasi perahu berkenaan karam pada petang Isnin lalu," ujarnya.
Semasa ditemui katanya, mayat mangsa masih berada dalam keadaan sempurna, cuma baju yang dipakainya sahaja yang tertanggal daripada badan mangsa.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dengan penemuan mayat mangsa sekaligus menamatkan usaha pencarian di hari yang ke-4 ini pada jam 8.15 malam.
Dalam insiden yang berlaku petang Isnin lalu, perahu yang dinaiki mangsa bersama lima lagi penumpang karam di kawasanLong Kawa Hulu Sungai Tutoh sekitar jam 5.30 petang.
Gambar PGO Sarawak