Mayat dalam beg, pasangan suami isteri ke tali gantung.
SIBU— Pasangan suami isteri peminjam wang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Christopher Chin Soo Yin membuat keputusan itu terhadap Seow Pei Chee dari Subang Jaya dan suaminya Cheung Chia Ming dari Kuala Lumpur selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir perbicaraan kes tersebut.
Memetik Buletintv3, terdapat niat kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 41 tahun melakukan kesalahan itu kerana mangsa tidak mampu membayar hutang kepada tertuduh.
“Anda bukan sahaja didapati bersalah membunuh, malah menjadikan mangsa dan anak perempuannya yang masih remaja selama bertahun-tahun hidup dalam penyeksaan, ketakutan dan penderaan fizikal.
“Anda hidup dengan hasil pendapatannya sebagai seorang pelacur dan apabila dia tidak cukup pendapatan, anda bertindak ganas kepadanya.”
“Anda juga mahu melacurkan anak perempuan si mati untuk memperoleh keuntungan anda sendiri sebagai peminjam wang.
“fakta kes ini mengejutkan saya dan akan mengejutkan sesiapa sahaja dalam masyarakat sivil,”katanya lagi.
Media melaporkan. Heng Heow Lin, 38, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan akibat dibunuh antara jam 10 malam pada 4 Oktober 2020 dan jam 6 pagi pada 6 Oktober 2020 di sebuah rumah di Jalan Tong Sang, di sini.
Mayat mangsa yang berasal dari Perak itu kemudian disumbat di dalam beg pakaian dan dibuang di Jalan Aman, di sini sebelum ditemui oleh orang awam kira-kira jam 6.30 pagi pada 6 Oktober 2020.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.