Malaysia, Kenya bincang kerjasama promosi pertanian mampan
Fadillah dan Mithika sepakat untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam mempromosi amalan pertanian mampan |
KENYA— Malaysia dan Kenya mengadakan perbincangan mengenai usaha ke arah memperkukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kenya termasuk perkongsian ilmu pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam mempromosi amalan pertanian mampan dan keselamatan makanan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dibincangkan semasa sesi pertemuan dengan Setiausaha Kabinet Untuk Pertanian dan Pembangunan Ternakan Kenya, Mithika Linturi di Klimo House pada Selasa.
“Kami telah membincangkan usaha ke arah memperkukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kenya termasuk perkongsian ilmu pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dalam mempromosi amalan pertanian mampan dan keselamatan makanan.
“Saya turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa teknikal peringkat pegawai antara Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Ministry of Agriculture, Livestock, Fisheries and Cooperatives Kenya bagi mengenal pasti bidang keutamaan ke arah mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.
Fadilah yang Menteri Perladangan dan Komoditi menambah, turut dibincangkan adalah cadangan supaya Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang memenuhi standard antarabangsa diterima di Kenya dan diperkembangkan ke rantau Afrika.
Pertemuan dan perbincangam berkenaan diatur bersempena penganjuran Malaysian Palm Oil Forum East Africa 2023, bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan menyediakan sokongan, berkongsi kepakaran dan kemahiran teknikal terutama dalam industri sawit di Malaysia.
Sementara itu dalam lawatan hari ketiga hari ini, Fadillah dan delegasi berkesempatan melawat kilang Bidco Africa Limited di Thika, Kenya.
Ketibaan mereka disambut Pengerusi Bidco Africa Limited, Vimal Shah sebelum dibawa meninjau sekitar kilang mereka.
Selepas itu, Fadillah dan rombongan melawat Golden Africa Kenya Limited (GAKL) yang terletak di Mombasa Road, Mombasa Highway, Kenya.
Setiba di GAKL, mereka disambut Dato' Fouad Hayel Saeed, Pengerusi GAKL yang juga Pengerusi PIL Group Malaysia sebelum meneruskan kunjungan ke Bsmart Solutions Sdn Bhd di Atlantic Business Park.