Lombong Kripto Curi Elektrik Di Sarikei dan Serian, Sarawak Energy Rugi RM65,000 Sebulan

KUCHING – Pihak berkuasa merampas 120 unit pelayan (server) untuk melombong mata wang kripto dari dua premis kedai di Jalan Rentap dan Jalan Jakar dekat Sarikei.

Sarawak Energy menanggung kerugian sekitar RM30, 000 sebulan akibat tindakan tidak bertanggungjawab pelaku yang didapati menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto mencuri elektrik.
 
Syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan media hari ini berkata, kegiatan tersebut terbongkar hasil operasi bersama Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta polis baru-baru ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sistem pendawaian telah diganggu dan kabel disambungkan terus kepada 120 unit pelayan (server).

Sebelum ini dua pusat perlombongan mata wang kripto di Serian dan Siburan turut ditemui beroperasi menggunakan elektrik yang dicuri.

Operasi haram tersebut mengakibatkan Sarawak Energy kerugian lebih RM35,000 sebulan. 

Perlombongan mata wang kripto menggunakan banyak tenaga elektrik kerana ia beroperasi tanpa henti dan memerlukan unit penyejukan untuk mengelakkan pelayan (server) daripada terlalu panas. 

Pemasangan bukan standard yang biasa digunakan dalam kecurian elektrik untuk aktiviti intensif tenaga sedemikian, boleh membebankan kapasiti sistem elektrik dengan mudah, meningkatkan risiko litar pintas, kerosakan perkakas, kebakaran dan juga menyebabkan kehilangan nyawa. 

Sarawak Energy mengingatkan orang ramai bahawa mencuri elektrik adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang membawa hukuman sehingga RM100,000 dan/atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.
Next Post Previous Post