Lelaki dijumpai tidak sedarkan diri selama dua hari di rumah, ahli keluarga dicari
KUCHING—Seorang lelaki yang dijumpai tidak sedarkan diri selama dua hari di sebuah rumah di Jalan Stutong kini dalam keadaan stabil.
Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam kenyataan berkata, pesakit merupakan seorang lelaki berbangsa Cina bernama Chia Swee Siong telah dihantar ke HUS pada 27 Jun lalu setelah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah selama dua hari.
"Mangsa dibawa ke hospital menggunakan ambulan sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada pasukan perubatan Hospital Sentosa yang melakukan lawatan berkala ke rumah pesakit.
"Pesakit kini berada di wad Neurosurgery HDU-Katil 4 dalam keadaan stabil namun tidak dapat memberikan sebarang maklumat dengan jelas serta nombor telefon ahli keluarga yang didaftarkan juga tidak dapat dihubungi," katanya.
Sehubungan itu, HUS sedang giat mengesan ahli keluarga kepada seorang pesakit dengan alamat terakhir di No. 805, Lot 5785, Lorong 22, Stampin Baru, Jalan Stutong, Kuching.
"Oleh itu, pihak yang mengenali pesakit dimohon untuk hadir ke hospital atau menghubungi Puan Rachel Lawrence Lendang di Jabatan Kerja Sosial Perubatan di talian 082-276 666 sambungan 4372 atau menghubungi pihak wad di talian sama sambungan 3813 untuk urusan selanjutnya," ujarnya.