Kumpul minyak masak terpakai untuk jana pendapatan
Fadillah (tengah) semasa pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen Petronas di Putrajaya, hari ini (18 Julai). Gambar kredit Facebook Fadillah Yusof |
PUTRAJAYA— Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama PETRONAS melaksanakan inisiatif mengumpul minyak masak terpakai di stesen Petronas untuk dijadikan satu sumber bahan mentah bagi menghasilkan biobahan api penerbangan lestari (SAF).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebagai permulaan pusat pengumpulan bagi program pengumpulan minyak masak terpakai itu dilaksanakan di stesen Petronas 1, Presint 9, stesen Petronas Subang Bestari dan stesen Petronas Kota Kemuning1, Shah Alam.
“Pusat ini akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat ke stesen-stesen Petronas yang terpilih.
“Justeru, orang ramai digalakkan untuk mengumpulkan sebanyak mana yang boleh minyak masak terpakai dan seterusnya dibawa ke stesen-stesen minyak terpilih PETRONAS untuk dijual,” kata beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi pada pelancaran inisiatif itu di Stesen Petronas di Putrajaya, hari ini(18 Julai).
Beliau berkata, penjualan minyak masak terpakai di stesen Petronas akan memberi sedikit pulangan kepada penjual yang akan dikreditkan dalam akaun aplikasi Setel dan boleh ditebus untuk mengisi minyak atau
membeli barangan di Kedai Mesra.
Fadillah menambah, program ini amat penting dan berpotensi memberi impak besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau teruja untuk melihat program ini dikembangkan ke seluruh negara dalam masa yang terdekat.
Bagi memudahkan pengurusan minyak masak terpakai tersebut, pihak PETRONAS akan menjadikan beberapa stesen-stesen PETRONAS yang terpilih sebagai pengumpulan bagi memudahkan orang ramai untuk menghantar dan menjual minyak masak terpakai.
“Inisiatif ini bagi menyahut aspirasi matlamat kelestarian dan memberi nilai tambah kepada rantaian bekalan industri sawit, malah akan memberi impak positif kepada harga minyak sawit dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
“Selain itu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar di samping menjana pendapatan tambahan isi rumah serta mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).
“Ia juga langkah proaktif Petronas sebagai persediaan untuk memenuhi tuntutan tuntutan Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) yang dibangunkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi tujuan mengurangkan jejak karbon dan memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon bagi sektor penerbangan antarabangsa,” katanya.
Fasa Rintis CORSIA bermula pada tahun 2021 manakala Fasa 1 bermula pada tahun 2024, dengan penyertaan oleh negara-negara anggota adalah secara sukarela termasuk Malaysia.
Bermula pada tahun 2027, penggunaan SAF adalah mandatori bagi semua negara anggota ICAO.