K'jaan akan buat beberapa perubahan di pintu masuk KLIA, Saifuddin
PUTRAJAYA- Susulan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, kabinet awal hari ini bersetuju untuk memperkenalkan beberapa perubahan di pintu masuk negara lapor Malaysiakini.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata hanya pegawai Gred A Gred 41 dan ke atas Jabatan Imigresen boleh membuat keputusan menafikan kemasukan pengembara.
Sebelum ini, kuasa untuk membuat keputusan sedemikian dipegang oleh pegawai Gred 29 yang ditempatkan di lapangan terbang dan pintu masuk lain.
Saifuddin berkata kabinet turut bersetuju dengan cadangan kementerian untuk menyediakan meja bantuan di pintu masuk.
Pegawai yang mempunyai kemahiran berbilang bahasa, kata Saifuddin akan ditempatkan di sana untuk membantu pelancong yang berdepan kesukaran berkomunikasi dengan pihak berkuasa.
Sementara itu, menteri dalam negeri juga berkata mesyuarat kabinet mengambil maklum mengenai kewujudan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian soal tatakelola atau soal berkaitan dengan insiden tersebut.
"Soal dakwaan ada beberapa amalan tidak baik berlaku dan sebagainya.
"Itu bawa maksud Kementerian Dalam Negeri sedia beri kerjasama sepenuhnya dengan SPRM untuk meneruskan siasatan. SPRM sudah pun memulakannya.
"Pagi tadi saya pun bercakap dengan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki dan nyatakan KDN sedia beri kerjasama penuh," katanya lagi.