Kes bunuh pemandu e-hailing: Bekas ketua perisik ESSCOM hadapi dua pertuduhan
TAWAU— Bekas Ketua Staf Perisikan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain dan enam anggota polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing di sini pada Januari lalu.
Pertuduhan terhadap Mat Zaki, 58, dan enam anggota polis Rosdi Rastam, 44, Denis Anit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta orang awam Vivien Fabian, 34, dibacakan di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng di sini hari ini (25 Julai).
Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien didakwa secara bersama-sama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan lepas, menurut portal Astro Awani.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Mat Zaki pula didakwa dengan dua pertuduhan bersubahat membunuh iaitu bersubahat membunuh Nurman bersama enam tertuduh lain manakala pertuduhan kedua bersubahat bersama John Kennedy dan kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun yang sama.
Mahkamah menetapkan 2 Jan hingga April tahun depan untuk perbicaraan kes ini.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat serta Low Qin Hui manakala peguambela semua tertuduh hadir mewakili anak guam masing-masing.