Kerinduan peminat k-pop bakat terubat dengan kehadiran Rain di Kuching 4 Ogos ini

KUCHING-- Peminat k-pop di Sarawak boleh melepaskan kerinduan mereka apabila artis terkemuka Korea Selatan, Rain bakal terbang ke negeri ini pada 4 Ogos nanti.

Perkara ini diumumkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media tayangan perdana filem AIFFA ‘Sumpahan Jerunei’ di sini, malam Khamis.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan-Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masyarakat Melanau Sarawak Datuk Aidan Wing, Pengarah AIFFA 2023 Livan Tajang, Pengasas Bersama Dan Penerbit Eksekutif Produksi Seni 2020 Sdn Bhd Datin Dr Wani Wendy Wong Abdullah dan Dato Nancie Foo, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB) Sharzede Datu Salleh Askor dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh.

Abdul Karim memberitahu, Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon
akan menjadi selebriti VIP antarabangsa bagi Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023 pada 4 Ogos depan.

"Sempena AIFFA 2023, kita ada kehadiran istimewa iaitu pelakon serta penyanyi dari Korea Selatan, Rain yang mana akan bertemu dengan peminatnya di Taman Old Court House, Kuching pada 4 Ogos depan," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai, termasuk peminat dan delegasi AIFFA 2023, telah dinasihatkan oleh penganjur acara untuk pergi ke tempat itu lebih awal untuk sesi bertemu Rain.

Terdapat juga sesi 'Red Carpet' di Pullman Kuching pada 7.30 malam, diikuti dengan makan malam gala, yang akan merangkumi tetamu jemputan khas negeri.

Tempat duduk terhad pada harga RM300 seorang disediakan untuk orang ramai.

Untuk tiket e-mel info@aseanfilmfestival.com.

AIFFA 2023 akan diadakan di sini dari 2 hingga 4 Ogos.

Selebriti VIP antarabangsa lain pada edisi AIFFA yang lalu termasuk Steven Seagal, Jackie Chan, Donnie Yen, Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding.
Next Post Previous Post