Kempen 6 PRN, UMNO - Barisan Nasional rayu bantuan, GPS tegaskan tidak masuk campur
KUCHING—Pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak terbabit secara langsung dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri di Semenanjung sudah dinyatakan sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pucuk pimpinan gabungan empat parti yang membentuk GPS mempunyai perintah tetap yang menjelaskan prinsip parti agar tidak terbabit di dalam pilihan raya di negeri lain.
"Itu prinsip yang GPS pegang sejak awal penubuhannya kerana fokus utama kita adalah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak.
"Pada masa sama, GPS menyokong Kerajaan Persekutuan kerana matlamat kita adalah untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat untuk mentadbir negara," katanya memetik laporan portal Berita Harian bertarikh 24 Jun.
Ketua Whip GPS itu dipetik berkata, beliau selaku Menteri Perladangan dan Komoditi bersama barisan menteri kabinet lain serta timbalan menteri di dalam Kerajaan Perpaduan tetap akan melaksanakan program kementerian masing-masing, bukannya berkempen.
Media arus perdana hari ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pemimpin GPS dapat turun padang membantu calon dalam PRN akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau telah berbincang dengan Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi untuk membawa pemimpin tertinggi GPS bagi membantu kempen di enam negeri.
“insya-Allah, (Pengerusi GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri akan pilih siapa yang akan turun untuk bantu kita dalam PRN nanti.
“Saya mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan semasa berkempen kelak, katanya pada sidang media selepas majlis Merarau Ngiling Tikai anjuran Parti Rakyat Sarawak di sini pada Ahad.