Kami tidak impikan Belaga jadi Switzerland, jadi Bahagian Sarawak ke-13 pun cukup - Senator Abun Sui
BELAGA— Ketika ada ura-ura pemimpin kerajaan negeri menjadikan Serian sebagai mini New Zealand, warga Belaga pula hanya berharap daerah kecil mereka diangkat menjadi Bahagian Sarawak yang ke-13.
Senator Abun Sui Anyit berkata, beliau tertarik dengan usaha yang dilakukan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Serian sebagai mini New Zealand.
Beliau berkata, ramai pihak terutama penduduk Belaga mahukan Belaga diangkat menjadi Bahagian Sarawak yang ke-13.
“Kalau Serian diimpikan menjadi macam mini New Zealand, kami rakyat di Daerah Belaga tidak pula mengharapkan Belaga menjadi mini Switzerland.
“Memadailah dengan mengangkat daerah ini menjadi Bahagian Sarawak yang ke-13, tidak payah menjadi mana-mana tempat diluar negara,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.
Abun yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Pusat Sarawak berkata, pengiktirafan Belaga sebagai bahagian amat penting dalam merancakkan pembangunan di kawasan yang terpencil itu.
Beliau menambah, rundingan untuk menaikkan daerah Belaga sebagai bahagian pernah disuarakan oleh Abang Johari semasa kunjungan Hari Raya tempoh hari.
“Saya yakin Premier Abang Johari mampu merealisasikan harapan rakyat Belaga ini dalam masa terdekat.
“Gandingan antara Abang Johari dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baik dan mantap sekarang ini pasti dapat memajukan Belaga sebagai Bahagian Ke-13,” katanya.
Abun menambah, langkah mengangkat Belaga sebagai bahagian dilihat amat wajar memandangkan Nusantara, Indonesia semakin rancak dimajukan di sebelah Kalimantan.
“Daerah Belaga sebagai penyumbang tenaga elektrik terbesar Sarawak yang bersebelahan dengan Nusantara wajar dimajukan seiringan dengan Bahagian - Bahagian lain di Sarawak,” katanya.
Untuk maklumat generasi BBNU, Belaga memiliki Empangan Bakun dan Empangan Murum yang menjana kuasa elektrik yang hampir cukup untuk menerangi seluruh Sarawak.