Juruteknologi makmal perubatan rugi RM400,000 cemas dituduh terlibat judi di Perak
BINTULU— Cemas didakwa terlibat dalam kegiatan judi atas talian di Perak, menyebabkan seorang juruteknologi makmal perubatan di Bintulu menanggung kerugian hampir RM400,000 akibat ditipu ‘phone scam’.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mancha Ata berkata, mangsa, berusia 40an hanya menyedari ditipu apabila setelah menceritakan kejadian tersebut kepada suaminya dan kemudian tampil membuat laporan polis.
“Mangsa pada awal Jun lalu telah melakukan 12 transaksi pemindahan wang berjumlah lebih kurang RM100,000 dua akaun bank
yang diberikan oleh suspek.
“Seterusnya mangsa diarahkan oleh suspek untuk membuat pinjaman wang daripada pihak bank pada pertengahan Jun sehingga awal bulan ini dari tiga buah bank, keseluruhannya lebih kurang RM300,000.
“Mangsa yang panik dan takut telah diminta untuk bekerjasama dengan memberikan maklumat perbankan dan kata laluan
perbankan online tiga akaun bank miliknya kepada suspek kononnya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas itu mangsa telah membuat semakan ketiga-tiga akaun bank miliknya dan mendapati 21 transaksi
pemindahan wang lebih kurang RM290,000 kepada empat akaun bank suspek.
Mancha menambah, kejadian bermula pada awal Jun lalu semasa mangsa berada di rumah menerima satu panggilan telefon dari seorang lelaki melalui nombor telefon yang tidak dikenali, mendakwa daripada jabatan komunikasi dan digital.
“Suspek memberitahu kononnya terdapat 27 aduan ke atas mangsa atas kesalahan judi online di Perak. Mangsa kemudian
disambungkan kepada IPK Perak dan mangsa bercakap dengan Sarjan Mejar Hong.
“Suspek mengatakan nama mangsa ada terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan
perjudian online.
“Bagi menyelesaikan kes tersebut, mangsa diarahkan untuk bercakap dengan Inspektor Umar yang kemudian mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang dalam akaun bank ke juruaudit sulit bank negara untuk tujuan siasatan dan membuktikan mangsa tidak bersalah.”
Sehubungan itu Mancha menasihatkan orang ramai agar tidak mudah panik atau cemas dan takut dengan sebarang dakwaan yang dibuat jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.