Julaihi projek Tangki Takungan Besar di Matang perlu disiap segera
KUCHING-- Projek Pembinaan Reservoir Tangki Takungan Besar 109 MLD dan kerja berkaitan yang bernilai RM95.7 juta, berdekatan dengan Loji Rawatan Air Matang di Bukit Matang perlu disiapkan segera.
Perkara itu ditegaskan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi yang memberitahu projek tersebut kini berada di belakang jadual yang mana projek tersebut bermula dari 11 September 2020 hingga 10 September 2022 (tarikh asal) tetapi telah disemak ke tarikh baru untuk disiapkan pada 18 September 2023.
"Pagi ini (Ahad) saya berkesempatan mengadakan lawatan tapak ke projek infra air di Matang untuk melihat sendiri status pembinaannya.
"Bila siap kelak projek ini boleh menyimpan 109 MLD air sehari dan jumlah simpanan air ini amat diperlukan untuk menampung bekalan air di bandaraya Kuching, khususnya di kawasan di Jalan Matang/Petra Jaya/Samariang.
"Oleh itu, pembinaan projek ini mesti disiapkan mengikut jadual. Namun berdasarkan taklimat Resident Engineer dan lawatan tapak, projek ini setakat sekarang hanya siap lebih kurang 50 peratus berbanding jadual siapnya 98 peratus," katanya.
Sehubungan itu, Julaihi menegaskan Lembaga Air Kuching ( KWB ) selaku agensi air bertanggungjawab telah diarahkan supaya mencari jalan penyelesaian segera mengikut klausa@clause kontrak dan peraturan kewangan yang sedia ada.
Tambahnya, penyiapan segera projek ini penting untuk mememuhi permintaan terhadap keperluan air yang semakin meningkat dan tinggi pada masa sekarang.
"Keperluan air adalah keutamaan Kerajaan Sarawak," ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut melawat Loji Rawatan Air Matang yang telah beroperasi sejak 1887.
"Pada hari ahad saya dan rombongan dari Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan KWB berkesempatan meninjau keadaan Loji Rawatan Air Matang yang asalnya dibina sebagai empangan air zaman pemerintah Brooke untuk memenuhi bekalan air Fort Magherita Kuching pada tahun 1887.
"Empangan ini dinaik taraf sepenuhnya sebagai Loji Rawatan Air sepenuhnya pada tahun 1965 dengan kapasiti 16 MLD.
"Namun operasi harian biasa hanya menghasilkan air terawat 10 MLD sahaja kerana kekurangan sumber air mentah," jelasnya.
Menurutnya lagi, loji ini membekal air terawat ke kawasan Rambungan dan kawasan sekitarnya.
"Memandangkan loji ini hanya mampu menghasil isipadu air terawat yang terhad iaitu 10MLD sahaja,maka penyiapan reservoir di kawasan berdekatan dengan kapasiti 109 MLD adalah amat penting untuk disiapkan segera," katanya lagi.