Inisiatif Ekonomi Madani lonjak ekonomi, tambah baik KDNK - Fadillah

PUTRAJAYA— Inisiatif Ekonomi Madani berupaya melonjakkan ekonomi dan menambah baik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia juga membuktikan kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata KPK menyambut baik visi dan sasaran yang telah digariskan di bawah Malaysia Madani dan bersedia untuk mengorak langkah melalui penjajaran program-program dan aktiviti Kementerian bagi menyokong aspirasi tersebut. 

“Dengan krisis makanan yang dihadapi dunia, adalah penting untuk negara terus mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi diperingkat huluan tetapi turut mempelbagaikan produk hiliran bernilai tambah tinggi.

“Hasrat untuk mencipta kekayaan baharu negara melalui aset sedia ada negara seperti biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon sektor agrikomoditi akan turut diberi perhatian. 

“Usaha-usaha pemuliharaan dan penghutanan semula yang dilaksanakan adalah bukti bahawa Malaysia amat menitikberatkan pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengulas pengumuman Inisiatif Ekonomi Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Fadillah berkata, KPK menerusi agensi di bawahnya telah menggerakkan Program Penghijauan Malaysia yang merupakan agenda nasional bagi menghadapi
cabaran perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Kementerian turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hydrogen serta CCUS (Carbon Capture, Utilisation &
Storage). 

“Justeru, Kementerian turut mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi
hijau seperti penggunaan biodiesel sawit,” katanya.

Selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada, KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad.

“MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta
mampan, mengambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan,” katanya.

Fadillah menambah, sektor agrikomoditi adalah penting bagi ekonomi negara, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan
serta meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. 

Katanya, industri ini akan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan Kementerian.
Next Post Previous Post