Gaji hakiki cuma RM4 ribu, Pegawai Imigresen bawahan boleh miliki Roll Royce berharga RM6 juta serta beberapa biji kereta mewah. Kau rasa?
KUCHING— Kisah seorang anggota rendah Jabatan Imigresen dengan Gred KP19 yang memiliki empat kereta mewah termasuk Roll Royce Phantom berharga sekitar RM6 juta pernah mengemparkan rakyat Malaysia pada 2020.
Siapa yang tidak terkejut, bagaimana seorang anggota rendah Gred KP19 yang bergaji RM4,000 sebulan dengan kadar kenaikan gaji tahunan RM100 ini mampu memiliki Roll Royce serta deretan kereta mewah lain?
Siasatan mendapati kenderaan jenis Roll-Royce Phantom, Ford Mustang, Range Rover dan Audi itu didaftarkan atas nama empat ejen termasuk dua warga China yang menjadi ejen pekerja asing warga China dan beroperasi di negara ini.
Keempat-empat kenderaan itu disimpan oleh seorang ejen tempatan.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika itu berkata, sesuatu yang menghairankan bahawa pegawai imigresen Gred 19 berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan boleh 'memiliki' semua kenderaan mewah tersebut.
"Siasatan mendapati kenderaan mewah yang digunakan oleh anggota Imigresen berusia 31 tahun itu adalah sebagai balasan kerana membantu menyediakan 'setting counter' di pintu masuk utama negara," memetik laporan portal berita dsf.
Pengaturan (setting) kaunter khas itu bertujuan membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak menolak kemungkinan lebih ramai kakitangan imigresen ditahan pada masa hadapan terkait rasuah.
Untuk rekod, sindiket itu menggunakan taktik pasport terbang dan setting counter di Lapangan Terbang KLIA dan KLIA2, Sepang dengan mensasarkan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Dengan bayaran serendah RM100, pemilik pasport boleh mendapatkan cop keluar dan masuk bagi membolehkan visa lawatan disambung tanpa perlu hadir ke kaunter.
Ejen kegiatan haram ini turut mengenakan bayaran serendah RM500 hingga RM6,000 setiap seorang bagi membolehkan warga asing yang disenarai hitam atau tamat tempoh perjalanan visa bebas masuk dan pulang ke negara masing-masing.
Dianggarkan 30,000 warga asing menggunakan khidmat sindiket tersebut.
Berbalik kepada anggota rendah tadi, tertuduh sudah diambil tindakan mahkamah dan dibuang kerja.
Kisah benar ini muncul semula ditengah-tengah dakwaan berlakunya rasuah di kalangan pegawai imigresen di KLIA.
Ia selepas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing tindakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing menerjah kaunter imigresen untuk "menyelamatkan" seorang pelancong yang ditahan pada Khamis lalu.
Tiong mengakui perbuatannya dan berkata ia bagi mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di KLIA.
Beliau mendakwa warga China itu bukanlah orang pertama yang menerima layanan sedemikian apabila tiba di Malaysia.
Dalam satu kenyataan semalam, Anwar Ibrahim berkata kabinet akan membincangkan perkara itu Rabu ini dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan berhubung perkara itu.
Perdana Menteri ke sepuluh itu menambah, tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku sehingga menjejaskan operasi.
Susulan kejadian itu, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa dakwaan rasuah di KLIA ini disiasat dengan telus.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata isu rasuah membabitkan pegawai Imigresen di KLIA serta penganiayaan terhadap pelancong bukan perkara baharu dan ia tidak membabitkan pengembara dari China semata-mata.
“MATTA sudah beberapa kali menimbulkan kebimbangan mengenai perkara itu kerana ia menghalang usaha untuk memasarkan sektor pelancongan.
"Isu utama sekarang adakah benar sebarang rasuah, salah guna kuasa atau layanan buruk terhadap pelancong. Bukan sama ada Tiong melanggar protokol kerana itu adalah perkara kedua," katanya dalam kenyataan dipetik portal Berita Harian pada Sabtu lalu.
Gambar arkib SPRM