Dua maut, lapan lagi dikhuatiri lemas dihanyutkan kepala air
KEMAMAN—Perkelahan 10 sekeluarga di Jeram Mawar, Air Putih di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas manakala lapan lagi dipercayai masih hilang selepas dihanyutkan kepala air, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat pertama iaitu seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an ditemukan kira-kira jam 12.45 tengah hari manakala mayat kedua iaitu seorang lelaki berusia 20-an pula ditemukan sekitar jam 5 petang tadi di lokasi berasingan
“Baki lapan lagi mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya dipercayai masih hilang,” katanya dipetik Kosmo Online hari ini.
Sementara itu Asisten Superintendan (ASP) Ahmad Syukri Yusoff berkata, hasil pemantauan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 (JHY5517) dan sebuah motosikal jenis SYM (CER5753) dengan jarak kenderaan lebih kurang dua kilometer (km) daripada penemuan mayat kedua.
“Siasatan awal menemui sebarang kesan kecederaan atau peninggalan perlakuan jenayah. Mangsa didapati telah lemas kesan dari kepala air yang berlaku di hutan Air Putih,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, setakat petang ini identiti mangsa belum dikenal pasti dan akan dirujuk ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.