Dua bot nelayan dilaporkan hilang di perairan Miri: Dua selamat, empat masih hilang
MIRI-- Dua bot nelayan bersama enam individu dilaporkan hilang di perairan Miri pagi tadi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan berkata, Maritim Zon Miri menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan sebuah bot nelayan bersama tiga kru warganegara Malaysia telah keluar dari jeti nelayan Piasau Utara pada 18 Julai 2023 jam 8.30 pagi.
"Bot tersebut seharusnya pulang pada 19 Julai 2023 jam 7.00 pagi namun sehingga kini gagal dihubungi dan masih tidak pulang.
"Beliau juga memaklumkan terdapat sebuah lagi bot nelayan juga masih tidak pulang setelah keluar ke laut," katanya.
Tambahnya maklumat lanjut dari pengadu memaklumkan lokasi kebiasaan bot tersebut adalah di pelantar Siwa, b-11, dan pelantar helang.
Berikutan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan pada 11.30 pagi dan sebuah bot PETIR 80 telah diaturgerak ke lokasi.
Jelasnya, dua kru daripada salah sebuah bot nelayan yang dilaporkan hilang telah berjaya diselamatkan berdekatan dengan pelantar SIWA dan tiba di jeti Marina Bay pada 4.50 petang.
"Sehingga 7 malam empat mangsa masih hilang masing-masing dari bot dengan nombor pendaftaran SFS3-4334 (tiga kru masih hilang) dan SFS3-4271 (satu kru masih hilang)," katanya.
Tambahnya, SAR ditangguhkan pada 7 malam dan akan diteruskan semula pada 8 pagi esok.
Difahamkan mangsa yang dilaporkan masih hilang dikenali Zaidi Nawi, Anuar Amin, John dan Ikong.
Dua mangsa yang terselamat dikenali sebagai Firdaus Mustakim, 35 dan Mohd Azrul Bin Abdullah,20.