Diiktiraf negeri berpendapatan tinggi, Sarawak lancar tinjauan kemiskinan
KUCHING—Susulan pengiktirafan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, Sarawak akan melancarkan tinjauan kemiskinan untuk melihat keadaan sebenar di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tinjauan ini bertujuan bertindak adil terutamanya kepada penerima eKasih.
“Jangan beritahu yang diri anda adalah miskin kerana itu tidak adil, manakala orang sering melihat yang rakyat masih dalam kelompok miskin biarpun negeri berstatus berpendapatan tinggi.
“Menjadi persoalan adakah rakyat yang tidak mahu keluar dari eKasih disebabkan menerima wang percuma daripada kerajaan?,” katanya ketika sidang media Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Beliau berkata, apa yang ditakuti adalah bank dunia menarik balik beberapa insentif kerana mencapai sasaran kewangan yang tinggi disebabkan status negeri berpendapatan tinggi.
“KIta berharap kerajaan Persekutuan tidak menarik balik beberapa permohonan insentif kepada Sarawak disebabkan status negeri berpendapatan tinggi ini.
Hal ini kemungkinan memberikan impak terutamanya berkurangnya subsidi di negeri Sarawak,” katanya.
Tambahnya, Sarawak masih memerlukan banyak usaha untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
“Ekonomi dan prestasi Sarawak memerlukan usaha dan kerjasama daripada setiap pihak untuk menuju ke arah status maju menjelang tahun 2030,” tegas beliau.
Teks dan gambar UKAS