Chong kecam tiang bendera RM30 juta, lancar Jawatankuasa DAPSY hampir 100% dikuasai pemimpin Cina
KUCHING— Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen semasa penubuhan Jawatankuasa DAPSY hari ini terus mengkritik kepimpinan Sarawak berhubung pembinaan tiang bendera bernilai RM30 juta, yang disifatkan sebagai berlebih-lebihan dan tidak bertanggungjawab.
Namun di sebalik kritikan dan laungan perkongsian kuasa, keputusan pemilihan Jawatankuasa DAPSY hari ini menunjukkan parti itu hampir 100 peratus dikuasai orang Cina.
Sebanyak 13 jawatan tertinggi yang terpilih adalah orang Cina iaitu Peter Hee (ketua), Roderick Wong (timbalan ketua), Yek Ling (naib ketua), Suzzane Wong (naib ketua), George Lam Li Kang (setiausaha), Wong King Yii (bendahari), Chin Fang Chi (setiausaha penganjur), Sim Kiat Leng (timbalan setiausaha penganjur), Julie Wong (setiausaha publisiti), Daphne Chong Yan Xin (timbalan setiausaha publisiti),Soo Tian Ren (Biro Pendidikan Politikal) manakala dua lagi Velentino Yung Wen Liang dan Thomas Yii Siong Loong dilantik sebagai auditor.
Hanya dua kaum Dayak dilantik itupun bagi mengisi jawatan paling bawah iaitu Stilda anak Aba sebagai ahli jawatankuasa biasa manakala Roswie Manti Sengok sebagai jawatankuasa yang dilantik.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu menyifatkan bendera tertinggi di Asia Tenggara itu hanya menjadi kebanggaan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg namun bagi beliau ia hanya melambangkan kerajaan negeri yang berlebih-lebihan dan tidak bertanggungjawab.
“Dengan kos RM30 juta, kita boleh bina tiga buah sekolah yang dapat menampung lebih daripada 1,000 pelajar.
“Sebaliknya, kerajaan negeri guna duit itu untuk membina tiang bendera yang tidaklah setinggi mana namun kosnya mungkin paling tinggi dalam sejarah pembinaan di Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, pembinaan tiang bendera setinggi 99 meter di Tebingan Kuching itu dibiayai sebuah syarikat sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Sarawak.
Walapun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan DAP adalah sekutu di peringkat persekutuan, namun kerajaan negeri diperintah oleh GPS manakala DAP adalah pembangkang.