Bukan setakat buat pusingan U haram, lesen pun tamat tempoh


SARATOK-- Bukan sahaja membuat pusingan U secara haram di laluan Jalan Betong-Sarikei, seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang tular di media sosial turut didapati mempunyai lesen memandu yang tamat tempoh.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menerusi Facebook rasminya berkata, perbuatan pemandu 4WD yang melanggar peraturan trafik itu tular menerusi satu video pada Selasa sekitar jam 2 petang.

"Rakaman dashcam dari sebuah kenderaan awam yang dimuat naik di Facebook (Ernie Zawawi) menunjukkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton berwarna putih yang telah melakukan kesalahan membuat pusingan U di kawasan Pusingan P jalan raya dari arah bertentangan di KM51, Jalan Betong-Sarikei, Saratok. 


"Video ini juga menerima banyak komen negatif atas tindakan pemandu tersebut dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Bagaimanapun, katanya, hasil tindakan dan risikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Saratok telah berjaya mengesan pemandu kenderaan terbabit.

Jelasnya, sekitar jam 11.40 pagi pemandu tersebut telah hadir di Pejabat BSPTD Saratok untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan mendapati pemandu berkenaan mengakui membuat pusingan U di jalan raya yang tidak sepatutnya berbuat demikian," dedahnya.

Berikutan itu, tegasnya, pemandu didapati telah melakukan kesalahan di bawah Kaedah 13(1)(b) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 166/59 iaitu kesalahan membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan oleh papan tanda No. 34E, Isyarat Trafik(Saiz, Warna dan Jenis) Peraturan-peraturan 1959. 

"Satu saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan kepada pemandu (OKS) berkenaan atas kesalahan yg dilakukan.

"Selain itu, satu lagi saman dikeluarkan atas kesalahan memandu kenderaan dengan lesen tamat tempoh," ujarnya.
Next Post Previous Post