Bertahun-tahun laungkan akan turunkan harga minyak semasa jadi pembangkang, Rafizi hari ini dedahkan tiada perbincangan hal itu
PUTRAJAYA -- "Hari ini jadi kerajaan esok minyak (petrol) turun RM1.50," itulah ayat yang sering dilaungkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bertahun-tahun dahulu sebelum berjaya membentuk kerajaan pada masa ini.
Namun realitinya, tiada perbincangan dilakukan untuk menurunkan harga bahan bakar itu hingga kini.
Ini didedahkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam laporan portal Sinar Harian hari ini.
Beliau dipetik mengesahkan tiada sebarang perbincangan di peringkat kerajaan untuk menurunkan harga runcit bahan api RON95 dan diesel.
Jelas Rafizi, desas desus penurunan harga RON95 itu baru pertama kali didengarinya.
"Sampai sekarang, saya tidak pernah dengar malah, tidak pernah ada perbincangan mengenainya," katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Rafizi memberitahu, hakikatnya,harga minyak mentah dunia telah meningkat kepada AS$70 setong dan pernah mencecah sekitar AS$83 setong.
Tegas beliau, keputusan menurunkan harga bahan api ini sebenarnya di bawah Kementerian Kewangan kerana ia membabitkan peruntukan subsidi bahan api.
Baru-baru ini, MIDF Research menjangkakan kerajaan akan mempertimbangkan untuk menurunkan harga runcit RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan.