Benteng pemecah ombak Batu 1 Kuala Baram kini siap 85 peratus
Lee semasa meninjau tapak projek benteng pemecah ombak Batu 1, Kuala Baram pada Rabu. Gambar ihsan UKAS |
MIRI— Projek benteng pemecah ombak Batu 1 Kuala Baram yang diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional dijangka siap Oktober ini, selepas mengalami kelewatan hampir tiga tahun dari jadual asal.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, projek bernilai RM17 juta ini sudah mencapai kemajuan sebanyak 85 peratus.
“Dengan adanya benteng pemecah ombak ini akan menyelesaikan semua masalah dan menjadi sebuah tempat yang selamat untuk para nelayan di sini,” katanya.
“Selain itu ia memudahkan rutin harian nelayan antaranya membawa bot keluar dan memunggah hasil tangkapan di Batu 1,” katanya selepas meninjau tapak projek di Kampung Batu 1, Kuala Baram pada Rabu.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata pembinaan merangkumi struktur kawalan hakisan seperti tembok batu, benteng pemecah ombak, geotiub serta struktur sesuai termasuk kaedah bukan struktur seperti penambakan pantai.
Skop projek merangkumi pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang 200 meter di luar pesisir pantai, lima groin dan tanjakan konkrit yang mampu menampung lebih 100 bot untuk memudahkan nelayan keluar masuk untuk turun laut.
“Memandangkan projek ini sudah beberapa kali lambat siap, saya memohon JPS terus memantau agar tiada lagi masalah ketika menyiapkan baki 15 peratus,” tegas Lee.
Untuk rekod, projek ini diluluskan pada Mei 2016 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan peruntukan asal RM1.3 juta, bagaimanapun ditangguhkan kerana kos tidak mencukupi dan reka bentuk yang tidak sesuai.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2018 kemudian memperuntukkan RM25 juta menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melaksanakan projek itu pada 2018 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.