ART hidrogen dinamakan Bulan
KUCHING--Sistem pengangkutan awam Transit Aliran Automasi (ART) hidrogen pertama dinamakan Bulan sempena nama lokomotif pertama Sarawak di era Rajah Charles Brooke.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, signifikan pemilihan nama itu adalah bagi memperingati sejarah pengangkutan kereta api di Sarawak pada abad ke-20.
"Pada era tersebut Sarawak mempunyai tiga buah kereta api, dua daripadanya dinamakan Bulan dan Bintang.
"Lokomotif ini beroperasi dari 1841 hingga 1946, sebelum ditamatkan berikutan penaklukan Jepun.
"Justeru, kerajaan negeri memilih nama Bulan untuk ART yang pertama," katanya berucap pada majlis makan malam anjuran Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) malam tadi.
Abang Johari menambah, penggunaan kereta api melakar sejarah dengan menyediakan pengangkutan kepada penduduk di Kuching pada awal abad ke-20 sehingga satu jalan dinamakan Jalan Keretapi yang kini dikenali Jalan Tun Ahmad Zaidi.
Sementara itu, ART yang dijangka memulakan operasi pada suku kedua tahun ini akan menghubungkan Samarahan - Kuching menggunakan laluan lama iaitu Jalan Tun Ahmad Zaidi.
Selain itu, Lot Letak Kereta Padang Pasir yang sedia ada di bandar akan dijadikan stesen utama ART, seperti stesen Kuala Lumpur Sentral.
Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM160 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan pengindahan tebingan sungai Kuching bermula dari Limbungan Brooke ke Pusat Penjaja Aneka Rasa Jambatan Gantung Satok.
Katanya, projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun akan datang.
Gambar Ihsan Pejabat Premier Sarawak