Anjing pengesan watak utama kerja pencarian mangsa Kepala Air
CHUKAI-- Empat anjing dari Unit Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Frankie, Denti, Grouse dan Lady menjadi watak utama dalam usaha mengesan dan mencari mangsa tragedi kepala air di jeram Air Putih
Memetik laporan The Star, keempat-empat hero itu terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air tersebut.
Ketua Unit Pengesan K9 JBPM, Lacey Elizabeth Stanley dipetik berkata, keempat-empat anjing pengesan itu menunjukkan prestasi membanggakan sepanjang dua hari terbabit dalam operasi berkenaan.
"Tip-top Ten out of ten," katanya ringkas apabila ditanya mengenai prestasi yang dipamerkan hero comel itu.
Turut serta dalam operasi kali ini ialah Sarkar dari Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Bukit Aman.
Kelima-lima anjing pengesan itu pernah menambat hati rakyat Malaysia ketika terbabit dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor, akhir tahun lalu.
Malah, beberapa bulan selepas itu, Denti dan Frenkie yang sudah enam tahun berkhidmat diterbangkan ke bumi Turkiye selama 14 hari bagi membantu operasi khas SAR gempa bumi yang meragut kira-kira 50,000 nyawa pada Februari tahun ini.
Berbekalkan latihan yang komprehensif dan berterusan bersama pengendali masing-masing, Lacey ternyata berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan masing-masing dalam misi kali ini.
Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab pengendali untuk peka dengan keadaan haiwan terbabit terutamanya dari aspek kesihatan mereka meskipun keempat-empat anjing K9 itu belum menunjukkan tanda-tanda keletihan sepanjang terbabit operasi mengesan 10 mangsa yang hilang.
"Sepanjang operasi kita perlu sentiasa tengok keadaan mereka. Pengendali tidak boleh sedaya-upaya seperti pasukan lain kerana apabila bekerja dengan anjing pengesan ini, waktu bekerja dan berehat kita ikut waktu mereka (anjing).
"Kalau ada nampak tanda-tanda anjing ini kepenatan, pengendali perlu segera merehatkan mereka dari sebarang kerja atau tugasan," katanya.
Sementara itu, pengendali Sarkar, Lans Korperal Jonvi Moris berkata, beliau perlu sentiasa sensitif dengan keadaan kesihatan anjing kendaliannya dari baka German Shepherd itu yang disifatkannya hiperaktif.
Katanya, selepas empat tahun mengendalikan Sarkar, dia sudah boleh 'membaca' keagresifan anjing berusia lima tahun itu ketika beraksi.
"Sarkar ini sangatlah hiperaktif. Boleh kata selagi dia belum pengsan, dia akan paksa dirinya bekerja dan terus bekerja walaupun dah mula tunjuk tanda-tanda kepenatan. Itu sebenarnya tidak bagus untuk kesihatannya lebih-lebih lagi sebelum ini, dia pernah terkena penyakit mudah diserang strok haba.
"Jadi, apabila lidahnya semakin terjelir panjang, air liur mula berbuih banyak serta jalan pun tidak berapa betul, saya akan segera merehatkannya. Kalau tidak, selagi itulah dia akan terus bekerja," kata pengendali Sarkar dari bahagian jenayah Unit K9 PDRM.
Walaupun belum berhasil membuat sebarang penemuan mayat mangsa, Sarkar yang ditugaskan untuk membuat pengesanan di tebing sungai di Sektor A dan B itu masih berperanan penting sebagai pemudah cara dalam operasi SAR berkenaan.
"Sebagai pengendalinya, saya boleh katakan setiap indikator yang Sarkar bagi sangat tepat dan membantu pencarian ini," katanya sambil memaklumkan seekor lagi anjing K9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang akan turut serta dalam operasi kali ini.