Tiga sekolah di Kanowit dibina zaman kolonial sering dilanda banjir

KUCHING-- Tiga sekolah di Kanowit yang dibina di sepanjang tebing sungai dan kawasan rendah pada zaman kolonial sering dilanda banjir.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, untuk mengatasi masalah tersebut, kerajaan mencadangkan untuk menubuhkan sebuah sekolah berpusat menerusi penggabungan SK Nangga Jagau, SK Nangga Nirok dan SK Nangga Balingiau.

Namun, katanya ia memerlukan persetujuan dan sokongan komuniti setempat.

"Sekolah berpusat adalah penyelesaian terbaik kerana sekolah-sekolah ini mempunyai pendaftaran murid yang rendah.

“SK Nangga Jagau mempunyai 26 murid manakala SK Nangga Dirok mempunyai 28 murid dan SK Nangga Balingiau mempunyai 88 murid," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil rakyat Ngemah, Anyi Jana semasa sesi soal-jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, tiga sekolah itu termasuk dalam kategori pendaftaran rendah walaupun jumlah keseluruhan murid dikumpulkan, ia masih di bawah 150 murid.

Kata Dr Annuar, menjadi cabaran pihak sekolah jika pendaftaran rendah yang mana semakin kecil bilangan murid, semakin rendah sumbangan atau peruntukan yang akan diberikan.

Jelas beliau lagi, sebelum ini, pihaknya ada inisiatif untuk menggabungkan sekolah-sekolah itu dengan mempertimbangkan bahawa menutup mana-mana sekolah perlu mendapat persetujuan dari komuniti.

“Kami ingin meminta wakil rakyat untuk meyakinkan rakyat bahawa penyelesaian terbaik adalah dengan menggabungkan ketiga-tiga sekolah ini.

“Ini akan menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk guru mengajar dan bagi murid untuk mempunyai persekitaran yang kondusif dan kompetitif, terutamanya dari segi aktiviti kurikulum,” ujarnya.

Mengenai tapak baharu yang sesuai untuk mengatasi masalah banjir yang sering melanda ketiga-tiga sekolah itu, Dr Annuar menggesa wakil rakyat tempatan yang terpilih untuk bekerjasama dengan kementerian dalam mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pemindahan.

“Jabatan Pendidikan Negeri telah mencadangkan untuk memindahkan sekolah-sekolah ini ke kawasan yang lebih baik, tetapi tapak baru tersebut tidak begitu sesuai," ujarnya.
Next Post Previous Post