Sarawak tempa sejarah baharu dalam peneraju tenaga hijau

KUCHING-- Sarawak menempa sejarah 
dalam menjadi peneraju tenaga hijau apabila melancarkan Loji Jana Kuasa Alga dan Pusat Chitose Carbon Capture terbesar di dunia di Sejingkat hari ini.

Majlis pelancaran loji jana kuasa tenaga hijau berasaskan alga itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.
Hadir sama, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chitose Group, Dr Tomohiro Fujita.

Dalam ucapannya, Abang Johari berkata, loji itu mampu mengeluarkan sekitar 45 tan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan pesawat di seluruh dunia.
"Anggaran ini diperolehi hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SCB) yang bekerjasama dengan syarikat Jepun, Chitose Group.

"Ini sekali gus bakal memberi pendapatan yang lumayan kepada Sarawak selepas SAF dipasarkan secara komersial," katanya.
Tambahnya lagi, Sarawak juga mahu menghasilkan bahan bakar berasaskan SAF pada skala yang lebih besar kerana permintaan tenaga hijau yang sangat tinggi di seluruh dunia.

Jelasnya, untuk menjadi pemain utama dalam industri tenaga itu, Sarawak bercadang untuk menubuhkan fasiliti yang sama.
"Kita mahu menubuhkan loji yang lebih besar iaitu di tapak seluas 10,000 hektar yang dapat menghasilkan 6,000 tan SAF sebulan,” katanya.

Abang Johari memberitahu, tapak untuk penubuhan loji jana kuasa alga baharu itu sudah pun dikenal pasti iaitu di antara Balingian dan Tanjung Manis.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan penghasilan tenaga ini berjaya dilakukan atas faktor cuaca Sarawak yang tidak terlalu panas.

"Selain itu, kita dapat memupuk bakat-bakat tempatan menerusi kerjasama dengan Chitose Group.
“Ini merupakan antara tanda yang Sarawak sedang maju ke hadapan,” katanya.

Justeru, tegasnya SAF bakal digunakan untuk pesawat syarikat penerbangan Sarawak yang akan ditubuhkan kelak dan perinciannya akan diumumkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23). 
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi SBC, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.


Next Post Previous Post