Sarawak arah agensi air bersiap sedia hadapi cuaca panas
SARAWAK -- Kerajaan Sarawak mengarahkan semua agensi air di negeri itu membuat persediaan rapi bagi menghadapi cuaca panas ketika ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Julaihi Narawi, berkata langkah itu penting bagi menangani keperluan bekalan air semua lapisan penduduk di negeri itu, sama ada pengguna domestik, komersial mahupun industri.
“Saya telah memberi arahan kepada semua agensi air di seluruh Sarawak seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn Bhd.
“Antara persediaan kita lakukan ialah menyediakan lori tangki air di seluruh negeri, apabila diperlukan bekalan air di sesuatu tempat, semua agensi air dapat mengambil tindakan segera,” katanya menurut Utusan Borneo.
Julaihi berkata, kementeriannya turut menggunakan lori tangki secara sewa atau kontrak daripada pihak berkaitan.
“Ini bagi melengkapkan bilangan lori tangki diperlukan apabila keadaan di mana air bersih perlu dihantar kepada penduduk di sesuatu tempat.
“Pada masa sama, kita juga telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) tentang usaha yang kita lakukan ini,” katanya.
Sumber: Laporan & Kredit foto Free Malaysia Today