Remaja lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Peliau

BEKENU-- Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Peliau, di sini petang tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Shahrizan Amani Sepawi,17, dikatakan pergi mandi-manda di pantai berkenaan bersama tiga lagi rakannya sebelum dia dibawa arus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie berkata sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.59 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian, sahabat mangsa memaklumkan mangsa tiba-tiba ditarik alur deras ombak air laut."

"Dua remaja lain berjaya menyelamatkan diri dan seorang lagi remaja berjaya diselamatkan oleh orang kampung manakala mangsa hilang dibawa ombak deras air laut,"katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambahnya, usaha mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar tepi pantai bersama pihak polis dan orang kampung namun mangsa belum dapat dijumpai. 

Operasi pencarian ditangguhkan disebabkan cuaca telah gelap dan akan disambung pada esok hari.
 
"Operasi turut dibantu empat anggota polis Bekenu, dua anggota Kementerian Kesihatan Malaysia dan 30 orang awam," katanya.

📸 Bomba
Next Post Previous Post