Pemanasan Global, Perubahan Iklim dan Ladang Lumut, Idea Abang Jo Resahkan Keyboard Warrior
Abang Abdul Rahman Zohari... Ideanya sukar difahami kelompok yang kurang membaca atau mengikuti perkembangan dunia. |
Oleh Abdul Hakim Bujang
Bermula dengan cadangan membina LRT beliau dikecam teruk.
Muncul pula bas hidrogen yang semput-semput kadang-kadang pitam tengah jalan.
Diteruskan dengan projek ART, jambatan gantung senget, terkini tiang bendera
RM30 juta memperingati 60 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia.
Sumpah seranah, maki hamun serta cercaan rakyat, ahli
politik serta keyboard warrior menghujani beliau.
Hot Air, Mat Jenin, Abang Jongang bertubi-tubi musuh politik
mengasak tidak melepaskan peluang untuk menghentam Premier Sarawak kerana idea
beliau selalu berada luar kotak pemikiran golongan skema yang hidup serba
cukup, selesa serta enggan mengkaji isu semasa ekonomi dunia.
Kusangka panas hingga ke petang, rupanya panas sampai ke
malam.
Saintis di Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) meramalkan
bahawa suhu global akan melimpasi 1.5C dari zaman pra perindustrian dalam
jangkamasa lima tahun mendatang.
Kegelisahan ini mendapat liputan meluas di negara barat
kerana kesedaran terhadap pemanasan global lebih tinggi berbanding di negara
kita.
Kajian pakar juga meramalkan 66% kebarangkalian kenaikan ini
akan berlaku dalam masa terdekat, dari sekarang sehingga tahun 2027.
Ini pertama kali ia bakal terjadi, malahan WMO meramalkan
peluang 98% untuk mencatatkan suhu paling panas akan berlaku menjelang 2027.
Perubahan Iklim Dunia tidak menjejaskan kita?
Masih ramai antara kita beranggapan masalah pencemaran,
masalah pemanasan global atau perubahan iklim hanyalah modal retorik ahli
politik.
Lebih-lebih lagi Malaysia hari ini menyaksikan sesuatu yang
tidak terfikir dek akal normal, DAP, PKR, UMNO, MCA, MIC, PBB, PRS, SUPP, PDP
serta PAN bergabung membentuk kerajaan.
Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri? PM tepi paling lama
dalam sejarah peradaban manusia.
Malah kita tidak dapat menyalahkan rakyat jika mereka
menyangka laut terus bergelora sehingga melimpasi bulan Mac sebagai April fool tahun
ini.
Biasanya laut teduh tidak lama selepas Perayaan Chap Goh
Mei, biasanya paling lewat sekalipun penghujung Februari.
Bukan semua orang prihatin tentang perubahan iklim dan
pemanasan global. Kalau ada yang bercakap, itu pun Syed Saddiq jaguh bahas dan
lompat pagar yang bakal beransur-ansur tua serta tidak lagi relevan dengan
MUDA.
Hari ini peribahasa tentang cuaca juga sudah mulai diubah, jika
dahulu ia bersifat eksklusif bertulis Kusangka panas hingga ke petang rupa-rupanya
hujan di tengahari, hari ini pendapat itu mulai disanggah generasi muda yang
menegaskan bahawa Kusangka panas hingga ke petang, rupanya sampai ke tengah
malam.
Pemanasan global itu benar.
Mencipta kekayaan baharu berasaskan kerja menyelamatkan
bumi
Apabila Premier Sarawak Datuk Abang Abdul Rahman Zohari
bercerita tentang ekonomi Hidrogen sewaktu mula mengambil-alih pentadbiran
Sarawak selepas pemergian Pehin Sri Adenan Satem ke negeri abadi, penulis
berpeluang menemuramah beliau.
Saya menunggu begitu lama bersama Editor Kanan Eksekutif The
Borneo Post, Francis Chan kerana slot dan masa seorang ketua eksekutif negeri
sangat terhad, berjam-jam kami mereput secara organik sebelum akhirnya dapat
duduk bersemuka dengan Premier.
Fokus perbualan kami pada masa itu ialah – Langkah ke
Hadapan, dalam bahasa orang-orang lama jajahan kolonial – The Way Forward.
Saya masih ingat, cabaran Pehin Sri Taib kepada mendiang Tan
Sri James Jemut Masing ialah untuk memikirkan apa sumber ekonomi Sarawak selepas
Kelapa Sawit. Di sebalik segala cemuhan serta cercaan terhadap Tun Taib
berkisar tentang rompakan serta samun, belum pernah saya mendengar diktator
lain di dunia ini meninggalkan lebih RM20 billion dalam tabung negeri.
Diktator negara Afrika yang merdeka sama zaman dengan kita, Congo
misalnya, jauh lebih kaya dari kita dengan segala sumber khazanah alam, lingkup
selepas beberapa tahun kerana pelaburan serta perlombongan diambil-alih,
dirampas serta dibahagi-bahagikan kepada kroni lalu bankrap.
Bijak juga diktator Sarawak kerana sentiasa menekankan
perpaduan, mengamalkan politik pembangunan serta memperjuangkan kesaksamaan –
mustahil kita dapat memuaskan hati semua pihak, khususnya bijakpandai kaki-lima
serta warung kopi, apatah lagi jika modal perbualan dijana air sakti.
Simpanan Karbon, sumber kewangan baharu?
Antara alternatif kekayaan yang bakal dinikmati Sarawak
dalam masa terdekat ialah teknologi simpanan karbon.
20 tahun yang lalu, jika Abang Johari selaku Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak berkata aktiviti perdagangan baharu, penyimpanan karbon dijangka menjanjikan sumber pendapatan baharu kepada Sarawak.
Tidak mustahil beliau akan diminta Taib Mahmud pergi
berubat secara Ruqyah.
Dalam ucapan kepada para peniaga besar, khususnya Dewan
Perniagaan Cina, Abang Jo selalu menegaskan bahawa Sarawak perlu membangunkan
sumber pendapatan baharu bagi mengukuhkan lagi ekonominya menerusi aktiviti
penyimpanan karbon.
"Meskipun Sarawak telah memperoleh hasil yang besar
daripada minyak dan gas dengan mengenakan Cukai Jualan Sarawak (SST) sejak 2019
tetapi negeri ini perlu mencari sumber pendapatan baharu, terutamanya daripada
perdagangan dan penyimpanan karbon," pesan beliau.
Pemimpin berwawasan serta mempunyai wadah perjuangan akan
sentiasa memikirkan pendapatan baharu untuk rakyatnya.
Bukan semua rakyat faham. Mereka cuma tahu ada sekolah
percuma, guru pakar anak mereka percuma, hospital percuma, doktor pakar RM5 dan
minyak murah.
lebih lebih lagi bagi yang suka mendengar ceramah Rafizi Ramli.
Kita tidak dapat menyalahkan rakyat yang jahil ini kerana Sarawak, khasnya cukup menjaga kebajikan rakyat.
Kena covid19 ambulans
menghantar ke hospital percuma, ubat percuma, makanan ketika perintah berkurung
PKP juga dihantar ke segenap pelusuk secara percuma.
Jika Sarawak miskin, jangan haraplah.
Usahkan hendak
membantu rakyat, negeri kita pun dijajah secara ekonomi serta sentiasa bergolak.
Sekadar berkongsi, bayaran ambulans ke Hospital di
sesetengah daerah di Amerika ialah sekitar USD$1000. Ya, anak saya pitam di
kolej. Apabila bil datang, itulah jumlah yang dibayar kerana khidmat ambulans
tidak diliputi insurans. Ubat? Jangan tanya harga.
Sarawak di hadapan, mengapa?
Selain kerajaan Sarawak, syarikat petroleum negara PETRONAS
turut menjalankan kajian mendalam dengan memeterai memorandum persefahaman
(MoU) dengan Japan Petroleum Exploration Co Ltd (JAPEX) untuk bersama meneroka
peluang dalam teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) termasuk
penyelesaian penyimpanan karbon dioksida (CO2) di Malaysia.
Di bawah MoU itu, Petronas dan JAPEX akan melaksanakan
aktiviti pematangan teknikal untuk memanfaatkan penyelesaian CCS yang
berpotensi, selain menilai kaedah penangkapan, penyimpanan dan pengangkutan
yang optimum, serta anggaran pelepasan, volum tangkapan dan kaedah pemantauan
CO2 yang disimpan di bawah tanah, kata PETRONAS dalam satu kenyataan.
Kajian bersama ini akan meliputi pertimbangan kaedah untuk
menangkap dan mengangkut CO2 dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu dan dari
luar Malaysia sebagai kemungkinan masa depan.
Berapakah nilai kekayaan simpanan Karbon Sarawak?
Sarawak mempunyai keluasan 33 juta hektar atau seluas 33
juta padang bola di mana 65 peratus daripadanya adalah hutan.
Daripada 65 peratus itu, kira-kira 15 peratus adalah tanah
gambut manakala kira-kira 20 peratus adalah bakau.
Hutan bakau dan gambut adalah sumber simpanan karbon. Jadi,
ia akan menjadi ekonomi dan hasil baharu bagi Sarawak.
Sarawak merancang kesemua ini dengan teliti, dari segi
saintifik dan parameter perundangan antarabangsa.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr
Hazland Abang Hipni berkata Sarawak
memerlukan sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk memuktamadkan keseluruhan
parameter kuantum ekonomi simpanan karbon di lebih 60 peratus kawasan litupan
hutan milik negeri ini.
Melalui perundangan, pengenalan lesen penyimpanan karbon
jelasnya, langkah penting bagi mengurus dan mengiktiraf sumber industri
Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS) di Sarawak.
“Kalau kita lihat kepada perdagangan karbon, ia memerlukan
dua hingga tiga tahun untuk dijana dari segi formulanya pula, pelbagai faktor
perlu diambil kira termasuk saiz pokok, ketinggian, jenis, usia dan lokasi
pokok tersebut ditanam.
“Keduanya, kita menggunakan teknologi satelit untuk menilai
jumlah karbon yang terdapat di dalam sesuatu pokok yang ada di dalam hutan.
Atas sebab itu Sarawak lebih berhati-hati dalam tindakannya termasuk
melaksanakan perkara itu mengikut lunas perundangan,” katanya.
Untuk itu, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya tujuh tahun
untuk menentukan nilai ekonomi simpanan karbon di lebih 60 peratus kawasan litupan
hutan kita.
Kerajaan Jepun gila buka ladang lumut jana bahanapi
pesawat dan rawat kanser di Sarawak?
Baru-baru ini Internet sekali lagi kecoh apabila Abang Jo
melancarkan kemudahan penangkapan karbon mikroalga industri pertama - satu
pencapaian penting ke arah mencapai ekonomi hijau yang mampan untuk Sarawak.
Segala jenis cercaan diucapkan, maki hamun serta tuduhan liar bahawa ini semua rancangan untuk menebang hutan bagi membuka laluan kepada projek itu secara besar-besaran.
Kita tidak perlu melenting kerana dunia akn
berhenti berputar jika manusia semua sama, tiada lagi caj serta arus berlawanan
bagi menjana kuasa fizik semesta.
Hakikatnya, kemudahan itu akan meletakkan asas bagi
inisiatif hijau baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat, mewujudkan
peluang pekerjaan baharu dan mengembangkan ekonomi.
Berdasarkan anggaran awal kemudahan perintis di Pusat
Biodiversiti Sarawak (SBC), pelaburan ke dalam loji komersial seluas 2,000
hektar boleh menghasilkan sehingga 140,000 tan biojisim alga setiap tahun.
SBC sudah lama menjalankan kajian ini, bukan baharu sehari dua.
Tapak itu akan diperluaskan kepada 2,000 hektar pada masa hadapan untuk
menghasilkan biojisim alga, menjadikannya antara yang terbesar, jika tidak,
yang terbesar di dunia.
Bergantung kepada teknologi yang digunakan, beberapa kajian
menunjukkan biojisim alga sebanyak 350 tan setahun boleh dijana daripada tapak
seluas lima hektar yang boleh diproses menjadi 87 tan lipid yang mampu
menghasilkan kira-kira 45 tan SAF.
Pada masa sama jumlah biojisim ini juga boleh menghasilkan
192 tan protein dan 52 tan karbohidrat.
Selain itu, beberapa mikroalga juga dilaporkan mempunyai
sifat anti-kanser yang penting dalam rawatan sel-sel kanser dalam tumor.
Microalgae mempunyai potensi besar dalam pengeluaran bahan
api yang mampan untuk industri pesawat, dalam pengeluaran makanan dan dalam
terapeutik,kata Abang Jo.
Berapa hasil ladang Algae, mengapa ia penting?
Algae ini tumbuh segar daripada pengitaran gas ekzos beracun
dari loji janakuasa arang batu Sarawak Energy, ia dalam erti kata lain menukar
gas beracun yang membunuh manusia, meracun alam serta menjejaskan perubahan
iklim serta pemanas global kepada sumber kekayaan.
Harga jualan daripada komponen biojisim iaitu lipid, protein
dan karbohidrat berpotensi menjana nilai ekonomi RM2 bilion hingga RM3 bilion
setahun.
Kerajaan Sarawak akan mengumpul data untuk meningkatkan
teknologi dan meningkatkannya sehingga 100 hektar dan mengembangkannya kepada
2,000 hektar, boleh mencipta sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu dan
menyahkarbonkan kira-kira 200,000 tan karbon setiap tahun.
Projek mikroalga itu, yang bermula pada 2020, diketuai oleh
Kumpulan CHITOSE Jepun (kontraktor utama untuk projek penyelidikan mikroalga),
Sarawak Energy Berhad (SEB), dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).
Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Pertubuhan Pembangunan
Teknologi dan Tenaga Baharu (NEDO) dan diuruskan oleh Kementerian Ekonomi,
Perdagangan dan Industri (METI) Jepun.
Kerajaan Jepun pun menyokong mengeluarkan modal, mengapa
kita pula yang sentap?
*Penulis masih menganggur, baru kehilangan sumber pendapatan
serta merancang untuk ngelaban perintah persekutuan dalam masa terdekat.