PBB Batu Kitang kecewa tidak dijemput, dakwa majlis Rumah Terbuka dikendalikan bukan Islam


KUCHING-- Timbalan Ketua Cawangan PBB Batu Kitang Shamsudin Unai kecewa tidak dijemput pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya di Dewan Komuniti Kampung Haji Baki dan mendakwa majlis itu dikendalikan orang bukan Islam.

Malah, katanya menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa Ketua Cawangan PBB Batu Kitang yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri tidak dijemput menghadiri majlis tersebut. 



"Rasa terkilan dan dukacita bahawa Rumah terbuka Hari Raya pertama kali dalam sejarah Malaysia dan Sarawak di kendalikan oleh bukan bangsa Melayu dan beragama Islam.

"Paling sedih rumah terbuka tersebut diadakan di DUN Batu Kitang namun hakikat kami di pihak PBB N13 Batu Kitang tidak dimaklumkan. Bahkan Ketua Cawangan PBB (Batu Kitang) pun tak dijemput.  


"Kami rasa amat kecewa rumah terbuka Hari Raya yang merupakan perayaan kehormonian umat Islam yang sepatut dikendalikan oleh orang Islam dan setidak-tidaknya badan gabungan diperlukan dengan orang Islam khusus Parti PBB N13 Batu Kitang," katanya dalam hantaran itu.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya membantah sekeras-kerasnya penganjuran majlis rumah terbuka itu yang didakwa tidak melibatkan orang-orang Islam dari Cawangan Batu Kitang.

"Kami di pihak PBB dan mewakili orang-orang Melayu membantah sekeras-kerasnya pengelolaan tanpa melibatkan orang-orang Islam di Cawangan Batu Kitang," tegasnya.

Hantaran itu mendapat 50 komen yang menyokong dan tidak menyokong kenyataan Shamsudin.

Antara komen itu, daripada Ketua Pemuda Ranting PBB, Sofian Rajunai yang membidas kenyataan tersebut dan meminta Shamsudin bersikap matang dan minta beliau bertanya dengan penganjur MBKS dan MPP.

Selain itu, ada di kalangan netizen meminta Shamsudin mencari peruntukan sendiri untuk menganjurkan majlis seumpama itu di kawasan tersebut.

"Cari bajet sendiri bos, buat sendiri tak perlu kecoh dalam Facebook tentang majlis orang lain," katanya.

Difahamkan Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya yang diadakan di Dewan Komuniti Kampung Haji Baki anjuran bersama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak

Majlis itu disempurnakan Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng dan Pengerusi MPP Tan Kai.

tamat
Next Post Previous Post