OP Hire 2.0: Tiga individu ditahan reman kemuka butir matang palsu di Perlis.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu dari syarikat berbeza kerana disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja secara atas talian yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM500,000 kepada PERKESO dibawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA 2.0).
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek iaitu masing-masing seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dipercayai ditahan di Pejabat SPRM Perlis lewat petang semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.
Sumber berkata, suspek lelaki merupakan pemilik syarikat kontraktor, manakala suspek wanita adalah pemilik syarikat yang membekalkan pelbagai barangan dan seorang lagi suspek wanita adalah pengurus syarikat yang bertindak sebagai orang tengah.
“Pemilik syarikat kontraktor ini dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM230,000 pada tahun 2021 manakala syarikat pembekal barangan itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM330,000 pada tahun 2021,” kata sumber itu lagi.
Kesemua suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Kangar pada pagi ini dan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan permohonan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 19 Mei 2023.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.