Monsun Barat Daya dijangka bermula Isnin depan
SHAH ALAM - Monsun Barat Daya dijangka bermula Isnin depan dan berterusan sehingga September tahun ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, semasa tempoh itu, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera yang stabil.
"Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.
"Jadi kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan. Keadaan itu menyebabkan taburan hujan yang lebih rendah.
"Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi," menurut kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, semasa musim berkenaan, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutama pada Julai hingga September.
Justeru, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar selain orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh tersebut.
Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-221638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Sumber: Laporan Dan Gambar Harian Metro