‘Mana ada harga barang naik’, tegas menteri

PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub menafikan terdapat kenaikan harga barangan asas ketika sambutan Hari Raya.

Katanya, jika mana-mana pihak terlihat atau tahu mengenai perkara itu, segera melaporkan kepada kementeriannya secara spesifik.

“Barang asas minyak masak bersubsidi tak naik, minyak masak kita kawal pada harga RM30.90 tak naik, beras tak naik. Petrol RON95 terkawal, barang asas keperluan rakyat tak naik. Siapa yang menaikkan kita akan hadapkan tindakan perundangan,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Salahuddin menjawab Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang bertanyakan realiti semasa menyaksikan penurunan kuasa beli rakyat pada sambutan Hari Raya, di mana harga barangan asas naik dengan ketara.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hanya menerima aduan isu kecil seperti tanda harga tidak diletakkan, bukan kenaikan harga barang dan keperluan tidak mencukupi.

“Kita buat kawalan bersubsidi, melalui banyak ops. Kita lakukan, Ops Terjah, Ops Manis, Ops Pantau yang kita lakukan secara terbaik.

“Kalau yang berhormat kata ada kenaikan barang asas itu tak benar sama sekali. Kita mengawal 43 jenis barangan kawalan, 11 harga kita kawal dan satu pun tidak naik,” katanya.

Menurutnya, walaupun dua syarikat gula dalam negara iaitu MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) berdepan masalah kewangan, kerajaan tidak menaikkan harga barangan itu.


“Kerajaan sampai pagi ini tak naikkan harga gula untuk rakyat tapi kita usaha cari mekanisme terbaik. Rakyat boleh membeli harga gula dengan harga yang kita kawal dan rakyat tak bayar lebih harga gula,” katanya.

Sumber: Laporan dan Gambar Ihsan FMT
Next Post Previous Post