Lelaki marah hutang tak dibayar silap bakar kereta warga Indonesia lain di Batu Kawa
KUCHING-- Lain orang berhutang lain orang yang terima akibat. Begitulah nasib yang menimpa seorang lelaki warganegara Indonesia apabila kenderaannya jenis Toyota Avanza musnah dibakar seorang lelaki tempatan yang marah kerana hutangnya berjumlah RM13,900 gagal dibayar individu bernama "Samson".
Dalam kejadian 10.15 malam itu, kenderaan mangsa yang dipakir di hadapan premis Big Pharmacy, berdekatan E-Mart Batu Kawa, Jalan Batu Kawa, dibakar suspek.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 44 tahun bagaimanapun berjaya ditangkap di lokasi kejadian.
Jelasnya, siasatan awal ke atas suspek mendapati bahawa, dia mengaku mahu membakar kereta tersebut sebagai amaran kepada seorang lelaki bernama Samson yang juga adalah bekas rakannya kerana berhutang dengan suspek sebanyak RM13,900.
"Hutang tersebut adalah baki pembayaran upah penumpang yang belum dijelaskan oleh Samson.
"Sebelum ini, suspek ada membawa keluar dan masuk penumpang warganegara Indonesia dengan kenderaannya dan kebanyakan penumpang datang daripada Tebedu yang akan dihantar ke mana-mana lokasi di Sarawak.
"Suspek pada mulanya hanya mahu memberi amaran sahaja dengan membawa sekeping kertas bertulis “PANGGIL SAMSON (KB1445) BAYAR DUIT SAYA!!!” yang ingin dilekatkan pada kereta mangsa.
"Namun suspek berubah fikiran akibat rasa marah dan dendam lalu memecahkan cermin bahagian hadapan kereta tersebut lalu menyalakan molotov dan dilempar ke dalam kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketika pasukan polis sampai di lokasi, mendapati terdapat dua bilang parang di atas jalan berhampiran kereta mangsa dan suspek mengaku kedua-dua parang tersebut itu adalah miliknya dan ia digunakan untuk melindungi dirinya sendiri.
Tambahnya, suspek mengakui dan faham bahawa membawa senjata berbahaya di tempat awam adalah salah tetapi ia adalah sebagai persediaan dirinya sendiri jika berlaku apa-apa yang tidak diingini.
Sementara itu, Abang Zainal memberitahu, hasil percakapan mangsa, mangsa tidak mengenali suspek namun mengaku mengenali Samson.
Katanya, Samson merupakan orang tengah (ejen) yang menguruskan pembayaran kepada pemandu yang membawa penumpang warganegara Indonesia daripada Tebedu masuk ke Malaysia ataupun warganegara Indonesia yang hendak balik ke negara asal daripada Sarawak.
"Namun, mangsa tidak tahu menahu tentang hutang Samson dengan suspek.
"Mangsa percaya bahawa suspek telah tersalah sasaran memandangkan suspek sebenarnya hendak mencari kenderaan jenis Toyota Avanza dengan nombor pendaftaran KB.1445.PB.
"Walau bagaimanapun disebabkan jenis kereta dan warna adalah sama manakala nombor pendaftaran juga hampir sama, kenderaan milik mangsa telah menjadi sasaran.
"Selain itu, suspek juga mengakui bahawa penama Samson yang dicarinya bukanlah mangsa di dalam kes ini," dedahnya.
Berikutan kejadian ini, tegas Abang Zainal, suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.
Tegasnya lagi, suspek akan direman di Mahkamah Kuching hari ini dan saringan urin akan dibuat sebaik sahaja permohonan tahanan reman diperolehi.