Kereta Api Trans Borneo bakal hubungkan Kepulauan Borneo
LAWAS: Kepulauan Borneo bakal dihubungkan dengan Kereta Api Trans Borneo jika cadangan mewujudkan sistem pengangkutan diluluskan dan dilaksanakan sekali gus akan meningkatkan aktiviti ekonomi serantau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sudah sampai masanya untuk Sarawak mewujudkan Kereta Api Trans Borneo melibatkan Malaysia, Brunei dan Indonesia bagi menjana ledakan aktiviti ekonomi setempat, khususnya di utara Sarawak.
Jelasnya, cadangan untuk mewujudkan Kereta Api Trans Borneo telah dibuat kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
"Saya rasa sudah tiba masanya kita mewujudkan ‘Trans Borneo Railway’ yang sudah tentu dapat meningkatkan aktiviti ekonomi kita khususnya dari sudut logistik.
"Kita (kerajaan Sarawak) telah diberi taklimat oleh MOT mengenai cadangan ini dan satu kajian akan dibuat oleh kementerian tersebut.
"Dicadangkan kita akan mempunyai Kereta Api Trans Borneo yang juga akan menjurus ke Sabah dan bersambung dengan Kalimantan, Indonesia. Jadi, apa yang berlaku mesti ada perbincangan antara negara Malaysia, Indonesia dan Brunei," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Lawas, Hospital Lawas dan Kompleks Kerajaan Bersepadu Lawas, di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, sekiranya projek itu dilaksanakan, ia akan dibiayai oleh kerajaan persekutuan.
Mengulas mengenai projek pembangunan, Abang Johari berkata terdapat 226 projek di bawah pembiayaan alternatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK1-2) Negeri dan Projek Rakyat dengan jumlah peruntukan RM440.7 juta telah diluluskan untuk Bahagian Limbang.
"Setakat 30 April tahun ini, 57 projek telah disiapkan, (manakala) 88 projek berada di bawah pelbagai peringkat perlaksanaan," katanya.
Ujarnya, daripada 226 projek terbabit, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan 114 projek mempunyai paling banyak projek di bawah pelbagai peringkat perlaksanaan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, Sarawak Energy Berhad (SEB) telah diarahkan untuk mengkaji pembangunan tenaga hidro di Sungai Trusan.
Beliau menjelaskan, pembangunan tenaga tersebut akan dilakukan dengan kerjasama beberapa pelabur termasuk PETRONAS.
Premier Sarawak turut menegaskan, langkah tersebut tidak akan melibatkan sebarang penempatan semula penduduk di kawasan sekitar.
“Ini akan menambahkan tenaga boleh diperbaharui di utara Sarawak termasuk mungkin jiran kita.
“Ia dikehendaki disebabkan pembangunan yang sedang berlaku dengan pesat di antara Limbang dan Lawas. Buat sementara itu, Limbang dan Lawas akan disambungkan dengan grid elektrik negeri dan ini sudah tentu juga akan menuju ke Sabah.
“Grid negeri ini akan siap antara 2024 hingga 2025. Maknanya tidak ada lagi masalah tenaga di sini,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Abang Johari mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri di sini, pagi ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail serta dif-dif kehormat yang lain.