Kerajaan Perpaduan wajar beri cuti tambahan Gawai, Raya Aidilfitri dulu dapat la

KUCHING-- Kerajaan Sarawak dicadang untuk memberi cuti tambahan sempena sambutan Hari Gawai Dayak untuk memudahkan masyarakat membuat persiapan bagi meraikan perayaan itu.

Cadangan ini disuarakan Cikgu Sangin Juat yang memberitahu, tarikh 29, 30 atau 31 boleh diisytiharkan sebagai cuti tambahan berkenaan.

"Alangkah indahnya kali ini di bawah Kerajaan Malaysia Madani yang terkenal dengan kehebatan memahami denyut nadi rakyat, kami diberi ruang cuti membuat persiapan Gawai.


"Cuti perjalanan awal sama seperti Hari Raya lepas. Mungkin 29, 30 dan 31 boleh diisytiharkan cuti iaitu cuti tambahan atau cuti persiapan atau apa sahaja nama yang dekat di hati rakyat.

"Ini kerana Kerajaan Malaysia Madani ini terbina hasil daripada perpaduan masyarakat berbilang kaum," tambahnya.

Beliau yang juga seorang pengacara dan komposer berkata, bagi warga guru ada sedikit kelegaan kerana cuti sekolah bermula pada 26 Mei 2023. 

"Tetapi bagi kakitangan awam bukan guru, staf swasta dan lain-lain, biasanya cuti sah bermula 1 Jun. 

"Secara kebiasaan, kita mendengar 1 Jun adalah Hari Gawai, tetapi secara hakikatnya, kalau di kawasan kami Hari Gawai (untuk yang masih Miring) akan berlangsung siang 31 Mei. 

"Malah, 29 dan 30 Mei itu ada juga beberapa acara sudah berlangsung," jelasnya.

Dalam pada itu, Cikgu Sangin memuji keputusan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gaji kakitangan awam bulan Mei diawalkan kepada 19 Mei 2023.

"Sekurang-kurangnya kami yang menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai boleh membeli keperluan secara "slow-slow"," ujarnya.
Next Post Previous Post