Isu jalan berlubang di Matang: Boleh tampal sehari tetapi ambil masa lama untuk baiki
KUCHING-- Pengguna jalan raya di laluan Matang-Malihah berhampiran Institut Memandu Cangiran kecewa dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikatakan "lembab" dalam mengambil tindakan berhubung isu jalan berlubang di laluan berkenaan.
Kekecewaan itu diluahkan pengguna jalan raya di ruang komen Facebook Sarawak Roads Update dalam satu hantaran berkaitan perkara tersebut.
Kata salah seorang daripada mereka di ruang komen itu, jalan berkenaan sememangnya sudah lama berlubang disebabkan batang paip pecah.
"Mereka (pihak bertanggungjawab) korek untuk membaiki paip berkenaan sudah lama tetapi tidak ditampal (tar) semula hingga sekarang," katanya sambil menambah dia tidak hairan apabila ditampal kelak akan dibuat sambil lewa seperti yang dilakukan di lampu isyarat laluan masuk Taman Malihah.
Seorang lagi pengguna berkata, ia adalah sikap tidak tanggungjawab PBT dan mereka yang bertanggungjawab masih lagi "tidur".
"Sudah lama jalan itu berlubang, rasanya sebulan dah dan lubang tersebut agak dalam yang boleh menyebabkan rim kereta pecah kalau terlanggar lubang itu," katanya pengguna laluan tersebut.
Tambahnya, kerja-kerja menampal lubang itu boleh siap sehari tetapi "dibiarkan" begitu lama.
"Sepatutnya papan tanda amaran diletakkan 3 meter dari lubang tersebut supaya pengguna peka dan dapat mengelak dari terlanggar lubang tersebut," ujarnya.
Sementara itu, seorang pengguna jalan raya mendakwa selain di lokasi tersebut, laluan di hadapan Sekolah Chung Hua yang tidak jauh di situ juga mengalami isu yang sama.
Yang peliknya katanya, selepas baru ditampal, jalan di hadapan sekolah berkenaan dikorek semula dan dibiarkan begitu saja.
Terdahulu, Sarawak Roads Update memaklumkan isu jalan berkenaan sudah lama dibiarkan begini sahaja.
Malah, tanda amaran diletakkan dibelakang lubang jalan raya yang berlubang itu yang sudah lama tidak ditutup.